Featured News

Program Mobiliti UUM-Jepun buka dimensi baharu pembelajaran global

Berita dan gambar Amirah Afiqah Sulaiman

OSAKA, 29 Mei 2025: Seramai 19 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama dua pengiring telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa U-Miles Japan Experiential Learning between Universiti Utara Malaysia (UUM) and Kansai University of International Studies (KUIS) yang berlangsung dari 16 hingga 26 April lalu di Osaka, Jepun.

Inisiatif yang dijayakan ini merupakan program anjuran Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat UUM ini juga turut bekerjasama dengan Kansai University of International Studies, Osaka University dan Malaysian Students Association of Japan (MSAJ).

Pengarah Program, Sharweswarann Kumaraval berkata, program ini bertujuan memperkayakan pengalaman pelajar melalui pendedahan langsung kepada budaya, sistem pendidikan dan gaya hidup masyarakat Jepun. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk sesi pembelajaran asas Bahasa Jepun.

Menurutnya, peserta mempelajari struktur ayat mudah, sapaan harian, serta penggunaan asas dalam komunikasi seharian.

Katanya, sesi ini membantu pelajar memahami serta menyesuaikan diri dalam persekitaran tempatan sepanjang program berlangsung.

Selain itu, program pertukaran budaya turut dijalankan melalui pembentangan tentang Malaysia yang disampaikan oleh pelajar UUM kepada pelajar KUIS dan turut disokong oleh pegawai pengiring iaitu Penolong Pengetua, Nadiah Abdul Lateb dan Felo Inasis Bank Rakyat, Syazani Marzuki.

Bukan itu sahaja, pihak KUIS juga amat bersemangat untuk menceritakan tentang latar belakang dan sejarah bandar Kobe, menambahkan lagi nilai penghayatan terhadap budaya tempatan. Pembentangan ini diikuti oleh sesi soal jawab yang interaktif dan membina hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

Satu lagi kemuncak program ialah lawatan ke World Expo Kansai 2025 di mana UUM telah mencipta rekod sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki di World Expo Kansai 2025 ini.

Di sana, peserta berpeluang menjelajah Pavilion Malaysia yang gah berdiri di persada antarabangsa serta meneroka kandungan pavilion negara-negara lain yang mempamerkan budaya,inovasi dan teknologi terkini.

Lawatan ini juga diisi dengan sesi dialog bersama Exim Bank, yang merupakan Bank Import-Eksport Malaysia Berhad yang telah banyak memberi pengetahuan yang telah membuka perspektif baru kepada pelajar mengenai pencapaian global Malaysia di persada dunia.

Di samping itu, peserta turut mengunjungi beberapa lokasi bersejarah dan pusat tarikan pelancong di sekitar Osaka, Nara dan Kobe. Lawatan ini bukan sahaja mendidik dari sudut sejarah dan budaya, malah memperkukuh kefahaman pelajar tentang masyarakat Jepun secara menyeluruh.

Sebagai kesinambungan kepada tanggungjawab sosial, para peserta turut melibatkan diri dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Masjid Istiqlal, Osaka. Aktiviti ini merangkumi kerja-kerja pembersihan ruang solat, kawasan masjid bagi membantu kelancaran operasi masjid tersebut.

Komitmen ini dijalankan dengan penuh kesedaran bahawa masjid bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, tetapi juga pusat sokongan komuniti dan integrasi sosial bagi umat Islam di Jepun. Pengalaman ini bukan sahaja memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta, malah membuka ruang kepada pemahaman yang lebih luas tentang peranan institusi keagamaan dalam masyarakat majmuk seperti di Jepun.

Program ini turut merangkumi penganjuran rumah terbuka Aidilfitri menerusi subprogram “MSAJ x UUM Open House”. Acara ini telah berjaya mengumpulkan hampir 100 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Jepun. Sambutan ini mewujudkan suasana kemesraan dan nostalgia hari raya di tanah air, serta memperkukuh ikatan ukhuwah sesama pelajar Malaysia di perantauan.

Peserta bukan sahaja menimba ilmu, malah menyaksikan nilai murni sebagai teras masyarakat Jepun seperti ketepatan masa, sopan santun dan keprihatinan.

Peserta, Mohamad Hidayat Alimin berkata, dia dapati bahawa menepati masa adalah tanda hormat kepada orang lain dan menunggu giliran dengan tertib dan hormat privasi dalam pengangkutan awam juga telah banyak mengajarnya erti kesabaran serta keterbukaan hati.

Menurutnya, pengalaman ini turut membentuk daya tahan mental dan fikiran terbuka, di mana mereka didorong untuk bangkit selepas menghadapi cabaran dan melihat masalah dari perspektif baharu.

“Nilai ini turut diperkuatkan apabila peserta melihat sendiri bagaimana masyarakat Jepun bangkit selepas melalui pelbagai tragedi besar seperti bencana alam dan krisis ekonomi.

“Kecekalan rakyat Jepun dalam membina semula kehidupan dengan penuh disiplin, bersolidariti dengan tekad yang tinggi memberi inspirasi mendalam kepada semua pelajar tentang erti harapan dan ketabahan,” katanya.

Dalam era globalisasi kini, kemahiran silang budaya bukan lagi kelebihan tetapi keperluan, terutamanya dalam pasaran kerja yang kompetitif. Program UMiles sejajar dengan strategi pengantarabangsaan UUM untuk melahirkan graduan berdaya saing, berwawasan global dan mengukuh hubungan pendidikan tinggi Malaysia-Jepun.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button