1,927 Pegawai Kadet PALAPES ditauliahkan
Gambar Ihsan
SERDANG, 15 September 2025: Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-43 berlangsung penuh gilang-gemilang di Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sabtu lalu.
Seramai 1,927 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 universiti awam seluruh negara ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, terdiri daripada 1,098 pegawai di Rejimen Askar Wataniah (RAW), 431 pegawai dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 398 pegawai dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Majlis turut menyaksikan penganugerahan Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan sebagai tanda pengiktirafan atas ketabahan, kepimpinan dan kecemerlangan mereka sepanjang latihan.
Bagi Universiti Utara Malaysia (UUM), pegawai kadet terbaik bag Darat ialah Muhammad Faqriez Farhan Rohaidzam, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Maklumat), Laut ialah Muhammad Afiq Aiman Aziz, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik Perniagaan) dan Udara ialah Harraz Danial bin Jamal Anuar, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan).
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang juga Komandan PALAPES UUM, turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu.
Beliau menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pegawai kadet UUM yang berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.
“Pegawai kadet PALAPES bukan sahaja menampilkan disiplin dan ketahanan diri yang tinggi, malah melambangkan perpaduan generasi muda pelbagai kaum dan latar belakang yang bersatu hati demi keamanan dan kedaulatan tanah air,” katanya.
Menurutnya, penglibatan pelajar dalam PALAPES memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mereka, membentuk sahsiah kepimpinan serta menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Istiadat ini memberi inspirasi kepada mahasiswa baharu UUM untuk melihat bagaimana latihan ketenteraan ini bukan sahaja membentuk ketahanan fizikal, tetapi juga kekuatan mental, kepimpinan, serta semangat sehati sejiwa demi negara,” katanya.
Majlis penuh istiadat itu diakhiri dengan bacaan Ikrar Taat Setia Perwira, sebagai simbol ikrar pegawai muda PALAPES untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air. – Kori Ariff