CEO talk 4.0: “Conversation with Bursa Malaysia CEO” tekankan nilai teras untuk kejayaan profesional
Gambar oleh: Muhamad Syazwi Sholihin
SINTOK, 4 November 2025 – Program CEO Talk 4.0: “Conversation with Bursa Malaysia CEO” yang diadakan di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini telah membuka ruang berharga kepada warga universiti untuk mendengar secara langsung perkongsian pandangan dan pengalaman daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Profesor Dato’ Fad’l Mohamed.
 
Program yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi ini merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta Bursa Malaysia Berhad, dengan objektif utama memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademik dan industri serta memberikan pendedahan langsung kepada pelajar mengenai realiti semasa pasaran modal Malaysia.
Sesi perbincangan telah dikendalikan oleh Dr. Nur Hafizah binti Mohammad Ismail, Pensyarah Kanan SEFB, yang berperanan sebagai moderator. Dalam sesi yang bersifat santai namun penuh makna itu, Profesor Dato’ Fad’l Mohamed menekankan tiga perkara penting yang perlu ada dalam diri seseorang individu untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan profesional.
 
Pertama ialah kesediaan untuk belajar. Beliau menegaskan bahawa seseorang individu perlu sentiasa terbuka menerima ilmu baharu serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan, kerana dunia industri dan pasaran modal sentiasa berkembang dan berevolusi. Kedua ialah kerjasama berpasukan. Menurut beliau, keupayaan untuk memberi dan menerima, serta kebolehan bekerja dengan pelbagai lapisan masyarakat, merupakan kunci utama kepada kejayaan organisasi dan pembangunan diri yang berterusan. Ketiga ialah keperibadian dan sahsiah. Dato’ Fad’l menjelaskan bahawa aktiviti seperti bersukan bukan sahaja membantu membina ketahanan fizikal dan mental, tetapi turut melatih semangat berpasukan, disiplin, serta ketabahan (grit) yang tinggi untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar.
 
Sebelum sesi Conversation with Bursa Malaysia CEO bermula, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM, telah menyerahkan watikah pelantikan Profesor Adjung Kewangan kepada Profesor Dato’ Fad’l Mohamed sebagai tanda penghargaan atas kepakaran serta sumbangan beliau dalam bidang kewangan dan pasaran modal. Susulan itu, Profesor Dato’ Fad’l Mohamed kemudiannya menyerahkan cek cura bernilai RM90,000.00 kepada Universiti Utara Malaysia sebagai sumbangan daripada Yayasan Bursa Malaysia. Daripada jumlah tersebut, RM84,000.00 diperuntukkan sebagai bantuan kewangan kepada 20 orang pelajar UUM daripada keluarga B40, manakala RM6,000.00 disalurkan bagi Anugerah Kecemerlangan yang akan disampaikan sempena Majlis Konvokesyen UUM kali ini.
Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan Bursa Malaysia dalam membantu pelajar yang memerlukan serta mengiktiraf kecemerlangan akademik, sejajar dengan komitmen berterusan organisasi tersebut terhadap pembangunan modal insan dan tanggungjawab sosial korporat.
Sebelum sesi CEO Talk bermula, Dato’ Naib Canselor UUM telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dana Bursa Malaysia ke-8, yang turut dihadiri oleh Profesor Dato’ Fad’l Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Bendahari UUM, serta Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB). Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada inisiatif memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan Bursa Malaysia dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan kapasiti pelajar.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar dan warga akademik UUM, sekali gus memperkukuh hubungan erat antara universiti dan industri kewangan negara. Melalui penganjuran program sebegini, UUM terus komited memperkasakan pendidikan berasaskan amalan industri sebenar, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berilmu, beretika dan berwawasan global. – Dr. Siti Solehah Ghazali
				
					


