40 pelajar berserta pensyarah UUM terkandas dalam banjir kilat di Hatyai, Thailand
Gambar Ihsan Pelajar dan Pensyarah UUM
SINTOK, 23 November 2025: Seramai 40 pelajar termasuk staf Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Universiti Utara Malaysia (UUM) terkandas dalam kejadian banjir kilat yang melanda Hatyai, Thailand, sejak semalam.
Mereka merupakan peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 yang berada di sana selama tiga hari bermula 20 hingga 22 November.

Kesemua mereka yang dijadualkan pulang ke kampus Sintok pada 22 November (Sabtu) terpaksa bermalam lagi di hotel penginapan mereka di mana 36 pelajar menginap di Wangburapa Grand Hotel, manakala pensyarah di Hatyai Paradise Hotel.
Pensyarah, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit berkata, dia dan peserta program yang sepatutnya pulang ke Malaysia semalam tidak dapat pulang kerana banyak jalan raya dinaiki air dan mereka mungkin perlu bermalam untuk 1 hari lagi sebelum pulang ke kampus.
Menurutnya, penginapan mereka semua telah diputuskan bekalan elektrik dan dia bersama Dr. Muhammad Harith Zahrullail mengambil keputusan untuk pergi ke penginapan pelajar dengan berjalan kaki memandangkan air sudah mencecah paras lutut.

Sementara itu, pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata, mereka kini hanya bergantung pada makanan ringan seperti roti yang sangat terhad, ditambah pula capaian internet di telefon bimbit juga tidak stabil untuk mereka berhubung dengan keluarga.
“Keadaan kami termasuk pensyarah masih terkawal dan kami cuba untuk teruskan hidup dengan sumber terhad yang ada.
“Hujan juga masih turun dan banyak kawasan yang dinaiki air, malah banjir sudah memasuki kawasan hotel kami. Syukur kerana kami semua berada di aras lima tetapi kawasan di luar hotel sudah dinaiki air dan tiada kenderaan ringan boleh melalui jalan di sini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mimi berkata, dia berharap ada bantuan yang boleh disalurkan terutamanya bekalan makanan kerana semua stok sekarang sangat terhad.
Dimaklumkan, Datuk Bandar Hatyai dalam usaha untuk melawat keadaan pelajar dan staf UUM yang terkandas di sana pada hari ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta staf adalah keutamaan UUM dan kini pihak universiti sedang memantau keadaan ini secara berterusan dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan bantuan dan sokongan dapat diberikan segera.
UUM menasihatkan agar keluarga pelajar dan staf yang terlibat bertenang dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pihak universiti komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajar serta staf terjamin, khususnya dalam situasi tidak dijangka seperti ini.



