General

6,832 graduan bakal terima ijazah masing-masing

Gambar Mohd Fuad Hamid

ALOR SETAR, 3 November 2025: Seramai 6,832 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan (9) sesi di Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan bermula pada 9 sehingga 13 November 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, daripada keseluruhan 6,832 graduan tersebut, seramai 5,575 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,241 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana termasuklah 16 orang graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.

Majlis konvokesyen kali ini melibatkan seramai 6,317 graduan tempatan dan 441 lagi adalah graduan antarabangsa, antaranya dari Indonesia (164), China (109), Pakistan (36), Arab Saudi (23), Nigeria (21), Somalia (18), Iraq (17) dan lain-lain seramai 53 orang.

Tahun ini, UUM berbesar hati menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar, 64, dan sekali gus menjadikan keseluruhan penerima Ijazah KehormatDoktor Falsafah adalah seramai 55 orang bermula dari majlis konvokesyen pertama (1988).

Sementara Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Mohammad Noor Aiman bin Hassan Nudin, 23, berasal dari Tawau, Sabah dan Vianca Syam A/P Shamlal, 24, dari Kedah, serta Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wong Yoong Wai, 24, dari Seremban, Negeri Sembilan.

Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan menerima tunai RM 7,500.00 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima tunai RM 4,000.00 berserta sijil.

Selain itu, daripada 5,575 graduan sarjana muda, seramai 1,339 merupakan graduan ijazah kelas pertama.

UUM juga meraikan 137 graduan sulung bagi tigaprogram baharu iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian.

Tidak ketinggalan, Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Ahmad Maslan juga bakal menerima ijazah Doktor Falsafah pada hari kedua itu nanti.

Selain itu, bersempena Majlis Konvokesyen Ke-38 ini juga, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen atau PESKON38 yang bermula pada 6 hingga 14 November 2025 dengan tema ‘Keusahawanan Pemacu Kebitaraan Graduan’.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button