General

AGM SETIA UUM 2025 angkat peranan setiausaha, jasa dihargai

Gambar Maizatul Musfiroh Mohammad

JITRA, 29 Mei 2025: Persatuan Setiausaha Universiti Utara Malaysia (SETIA UUM) telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-9 bertempat di Darulaman Golf & Country Club, Jitra.

Mesyuarat ini telah dihadiri seramai 30 ahli, termasuk ahli bersekutu dan beberapa ahli baharu yang pertama kali menyertai SETIA.

Berucap dalam Mesyuarat Agong Ke-9 SETIA, Presiden Persatuan, Norazlina Mahmud berkata, peranan setiausaha dalam sesebuah organisasi adalah penting sebagai tulang belakang kepada pentadbiran sesebuah organisasi, bukan sahaja dalam urusan dokumentasi dan penyelarasan, tetapi juga dalam menyokong kelancaran operasi harian serta menjadi penghubung yang efektif antara pihak pengurusan dan staf.

Menurutnya, SETIA telah menjadi ahli dalam Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan staf UUM (BAHTERA) di mana persatuan ini bergerak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan untuk anak-anak staf di TADIKA UUM dan Rumah Anak Yatim.

“Saya berharap dengan keahlian ini, SETIA dapat sama-sama menyumbang tenaga dan idea untuk kebaikan bersama.

“SETIA turut terlibat dengan beberapa taskforce lain yang melibatkan isu-isu yang memerlukan keterlibatan bersama untuk penambahbaikan staf seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jawatankuasa Pengemaskinian Etika Profesion Staf Akademik dan Pentadbiran UUM dan yang terkini adalah Jawatankuasa Kerja Reformasi UUM,” katanya.

Melalui penglibatan sebegini, beliau berharap suara SETIA dapat diketengahkan dan mempunyai kerjasama yang baik dengan pihak pengurusan.

“Suka saya mengingatkan ahli supaya sentiasa fokus dan memberi perkhidmatan yang terbaik walau di jabatan mana kita bertugas,” kata Norazlina.

Majlis turut diserikan dengan satu sesi istimewa bagi meraikan persaraan Siti Aizian Ismail, seorang ahli SETIA yang telah banyak menyumbang tenaga, pengalaman, dan dedikasi sepanjang perkhidmatannya di UUM.

Mesyuarat ini turut menjadi platform penting untuk membentangkan laporan tahunan serta merancang hala tuju dan program-program akan datang yang mampu meningkatkan nilai profesionalisme dan kebajikan ahli-ahli SETIA. – Nur Diyana Othman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button