General

Ahmad Maslan kini bergelar Doktor Falsafah

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 10 November 2025: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan antara 6,832 graduan yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu memperoleh PhD setelah menyiapkan tesis bertajuk Strategi Komunikasi Kerajaan Malaysia: Satu Analisis Penentuan Agenda dan Pembingkaian Pelaksanaan Goods and Services Tax yang diselia oleh Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman dan Dr. Suhaini Muda.

Ahmad menzahirkan kesyukuran atas kejayaan memperolehi PhD selepas empat tahun bersusah payah untuk menamatkan pengajian dan berterima kasih kepada keluarga termasuk isteri selain pensyarah serta penyelia dan rakan-rakan.

Menurutnya, mencari ilmu adalah salah satu usaha sepanjang hayat, pendidikan adalah usaha sepanjang hayat.

“Cabaran dihadapi dalam tempoh pengajian empat tahun itu adalah semasa pandemik Covid-19 yang memerlukan saya mengikuti kelas secara dalam talian dengan pada masa sama perlu menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Saya juga perlu menduduki subjek utama iaitu Research Methodology dan Academic Writing. Alhamdulillah, kedua-dua subjek ini saya dapat A+ dan melalui proses-proses seterusnya, selain bertemu dua penyelia saya,” katanya.

Beliau antara 879 graduan yang menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button