General

Alumni UUM berkongsi rezeki, erat silaturahim

Gambar Pusat Alumni

SINTOK, 17 April 2025: Menyantuni pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Syawal yang mulia, Pusat Alumni telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Alumni: Ikhlas Disalur, Syawal Disambut di Pusat Alumni UUM.

Seramai 30 pelajar asnaf UUM telah menerima sumbangan hasil sumbangan ikhlas daripada alumni UUM.

Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, program ini mencerminkan semangat kebersamaan serta tanggungjawab sosial alumni dalam membantu dan memberi semangat kepada pelajar yang memerlukan.

Menurutnya, program ini merupakan antara usaha Pusat Alumni untuk memperkukuh hubungan antara alumni dan pelajar, selain sebagai platform alumni menyumbang semula kepada institusi pengajian mereka dahulu dengan cara yang bermakna dan berimpak.

“Semangat alumni tidak hanya diukur melalui kejayaan mereka di luar sana, tetapi juga melalui keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti kampus yang pernah menjadi tempat jatuh bangun mereka dahulu,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menyaksikan penyerahan sumbangan yang disampaikan oleh Siti Syariza Mohamad Radzi, mewakili seramai 17 penyumbang alumni.

Jumlah sumbangan yang terkumpul adalah sebanyak RM13,000 sepanjang bulan Ramadan 2025.

Program ini diharap dapat meringankan beban pelajar asnaf serta memberi kegembiraan sempena sambutan Syawal, selari dengan nilai murni kebersamaan, keikhlasan dan kasih sayang.

Turut hadir, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Ketua-Ketua Pusat Tanggungjawab Hal Ehwal Pelajar, dan Timbalan-Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dari Pusat-Pusat Pengajian UUM. – Fatin Najwana Ahmad Tarmizi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button