General

Anak Changlun pilih UUM demi keluarga, tekad jadi usahawan tani

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

CHANGLUN, 16 September 2025: Kisah tekad seorang anak muda dari Changlun, Muhammad Adam Haikal Rasidi, bakal pelajar baharu Sarjana Muda Perniagaantani, Universiti Utara Malaysia (UUM), menyerlahkan semangat juang seorang anak yang mahu berjaya tanpa melupakan pengorbanan keluarga.

Adam, anak ketiga daripada empat beradik, memilih UUM kerana ingin dekat dengan rumahnya yang sekali gus mampu menjimatkan kos serta meringankan beban kedua ibu bapanya.

“UUM paling dekat dengan keluarga. Kalau belajar di sini, saya boleh jimat banyak kos dan pada masa yang sama dapat selalu tengok mak ayah,” katanya dengan penuh rendah hati.

Lebih istimewa, program Perniagaantani yang ditawarkan oleh UUM menjadi tarikan utama buat Adam kerana ia satu-satunya program seumpamanya di universiti awam di Malaysia.

“Sejak kecil saya tengok sendiri bagaimana tanah di Kedah ini luas dan subur. Saya percaya bidang pertanian ada masa depan besar.

“Cita-cita saya adalah nak jadi usahawan tani yang berjaya, yang bukan sahaja membantu keluarga, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Hari ini, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut menyantuni Adam dalam kunjungan khas ke kediamannya di Changlun sebagai tanda sokongan universiti terhadap semangat anak muda ini.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Presiden Persatuan Alumni UUM, Cikgu Zainol @ Zainal Abidin Mohamad (Cikgu Non) serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr. Mohd Foad menyifatkan Adam sebagai pelajar yang mempunyai visi jelas dan berpotensi besar untuk mencipta kejayaan dalam bidang yang diceburi.

“Program Perniagaantani ini kita bangunkan khas untuk melahirkan generasi usahawan muda yang mampu mengangkat sektor pertanian negara ke tahap lebih tinggi. Anak-anak seperti Adam adalah cerminan harapan itu,” katanya.

Adam akan mendaftar sebagai pelajar baharu UUM pada 23 September ini bagi sesi akademik 2025/2026. – Kori Ariff

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button