Anak ibu tunggal melangkah ke UUM demi masa depan
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA NERUS, 18 September 2025: Hidup sebagai anak kelima daripada enam beradik bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila dibesarkan oleh seorang ibu tunggal setelah kematian bapa ketika usia baru dua tahun.
Namun, segala kesusahan itu tidak pernah mematahkan semangat Nurul Natasya Nabila Yahya, 20, untuk mengejar ilmu dan mengubah nasib keluarganya.
Berasal dari keluarga sederhana, ibunya, Suriah Deraman, 51, bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan. Walaupun begitu, semangat dan pengorbanan seorang ibu telah menjadi sumber kekuatan buat Natasya untuk terus melangkah ke menara gading.
Dengan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 3.50, Natasya kini berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Pengurusan Awam, sesuai dengan cita-citanya untuk bergelar pegawai pejabat suatu hari nanti.
“Sejujurnya, saya memang agak gementar sebab ini pengalaman pertama saya melangkah ke universiti. Tetapi saya nekad, sebab saya mahu menaikkan taraf keluarga.
“Saya juga menjadi anak pertama dalam keluarga yang dapat masuk ke universiti, jadi ini tanggungjawab besar untuk saya,” katanya penuh yakin.
Bercerita tentang pemilihan UUM, Natasya berkata pengalaman lawatan ke kampus itu sewaktu di Tingkatan Enam membuka hatinya.
“Semasa lawatan dulu, kami dibawa oleh Permata UUM dan saya sendiri dapat melihat suasana kampus yang tenang, hijau dan penuh dengan kemudahan.
“Malah ada pusat membeli-belah dalam kampus, jadi pelajar tak perlu keluar jauh. Dari situ saya sudah pasang niat, kalau ada rezeki, saya mahu belajar di sini,” katanya yang menerima tawaran Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.
Lebih menyentuh hati, Natasya tidak menyangka pihak UUM diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan sudi menziarahi rumahnya di Taman Batin Perdana, dekat sini sebelum kemasukan pada Selasa depan.
“Saya rasa sangat terharu dengan kunjungan itu. Ia buat saya rasa lebih bersemangat untuk belajar.
“Bagi saya, tindakan UUM ini menunjukkan mereka benar-benar mengambil berat tentang pelajar mereka,” katanya.
Di sebalik rasa gementar, tersimpan harapan yang besar. Natasya percaya ilmu adalah kunci untuk membuka jalan keluar daripada kesempitan hidup dan membina masa depan yang lebih baik buat keluarganya.