General

Anak Orang Asli cemerlang ingin jadi akauntan profesional

Gambar Mohd Fuad Hamid

KUALA LUMPUR, 21 September 2025: Dari sebuah flat sederhana di Danau Kota, Setapak, lahirlah kisah luar biasa tentang Zaireel Rizky, anak muda Orang Asli yang kini sedang melakar kejayaan gemilang akan ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Berusia 19 tahun, Zaireel bukan sekadar seorang pelajar biasa kerana dia kini dipilih mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dan yang lebih membanggakan, berjaya mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, satu keputusan yang menjadi impian ramai pelajar.

Anak kedua daripada empat beradik ini tidak pernah menjadikan cabaran kewangan sebagai penghalang. Bakal menjejakkan kaki ke universiti, Zaireel rajin melakukan kerja sambilan untuk mengumpul duit demi menampung kos pengajian.

Walaupun jadual padat, dia tetap cekal kerana percaya bahawa setiap titik peluh akan membuka jalan kejayaan, tambahan pula minat terhadap subjek akaun telah berputik sejak kecil lagi.

Katanya, dia memang suka kira-kira sejak sekolah rendah. Sebab itu semua pilihan UPU yang dipilih berkaitan perakaunan. Minat ini yang membakar semangatnya untuk terus melangkah jauh.

Semalam, delegasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM yang diketuai oleh Pengarahnya, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhamad Suhaimi telah mengadakan Ziarah Kasih Madani ke kediaman keluarga Zaireel.

Dalam ziarah penuh makna itu, anak muda itu menerima surat tawaran rasmi ke Program Perakaunan UUM, bakul makanan sebagai tanda prihatin dan sumbangan tunai untuk membantu persiapan awal pengajian.

Kejayaan Zaireel ini membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelajar lain, malah mampu menjadi sumber inspirasi buat masyarakat. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button