General

Anak yatim piatu mendaftar sendirian untuk mengejar impian

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 September 2025: Dengan langkah longlai, beg hitam besar terseret di tangan dan dua beg sandang di bahu anak yatim piatu, Putera Iman Shah Shahiran, 19, menuruni tangga Stesen Kereta Api Arau, jam 12.15 tengah hari.

Panas terik tengahari kian membakar, namun hatinya lebih hangat dengan rasa kosong dan sepi dengan wajahnya tersimpan pelbagai perasaan.

Di setiap derap kaki, tergambar bayangan wajah arwah ibu, Allahyarhamah Khatijah Mohd Rashid, yang meninggal dunia ketika dia di Tingkatan 1 pada 2019, diikuti ayah tercinta, Shahiran Pake Chi, 57, pula pergi menghadap Ilahi pada bulan lalu.

Pemergian ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu begitu mengejut, hanya dalam tidur, dan hanya beberapa minggu sebelum Putera menjejakkan kaki ke menara gading.

Di stesen itulah, rasa kehilangan meresap lebih mendalam. Putera berdiri sendirian, memandang orang lain yang berpelukan bersama ibu bapa masing-masing. Dia pula sekadar menggenggam erat beg besar, dengan niat mengambil kereta sewa untuk ke UUM.

Namun, Allah mengaturkan takdir yang lain apabila staf Inapan Siswa (Inasis) SME Bank UUM telah menunggunya di mana mereka dihantar khas atas arahan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang terharu mendengar kisah Putera.

Tepat jam 12.59 tengah hari, saat akhir pendaftaran, dia dibawa ke kampus Sintok, menyertai ribuan pelajar lain yang mula menjejak kaki ke universiti.

“Awalnya saya rasa hilang arah. Saya tak tahu nak buat apa, tak tahu siapa yang boleh saya harapkan. Tetapi apabila ada staf UUM datang menjemput, saya rasa lega, seolah-olah ada keluarga yang menyambut saya. Terima kasih atas hospitaliti UUM,” katanya sambil mengesat air mata di pipi.

Sebaik tiba di Inasis SME Bank, Putera dibawa mendaftar dan terus diberi kunci bilik penginapan di Blok B.

“Walaupun panas terik di luar, bila saya masuk ke blok, saya terkejut kerana sejuk seperti dalam bangunan berhawa dingin. Bilik itu ada dua katil, saya pilih katil di sebelah kanan. Bagi saya, itu lebih daripada cukup. Saya amat bersyukur,” katanya.

Putera kini bergelar pelajar Sarjana Muda Pemasaran, berbekalkan CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi. Walaupun kehilangan tempat bermanja, anak tunggal yatim piatu ini memilih untuk bangkit, menjadikan pendidikan sebagai bekalan masa depan.

Anak muda ini adalah sebahagian daripada 4,549 pelajar baharu yang mendaftar di UUM hari ini, menyertai keseluruhan pelajar UUM seramai 30,121 orang.

Kehadiran ribuan pelajar baharu itu menandakan bermulanya perjalanan hidup serba mencabar, penuh harapan, dan menjanjikan seribu kemungkinan.

Jam 1.45 tengah hari, Putera bersama-sama dengan pelajar lain menunggu bas untuk ke MSK (Minggu Suai Kenal) di Dewan Mu’adzam Shah.

Bagi Putera, perjalanan dari Arau ke Sintok hari ini adalah lebih daripada sekadar perjalanan fizikal. Ia adalah perjalanan jiwa, daripada duka ke harapan, daripada kehilangan ke sebuah permulaan baharu.

UUM menjadi saksi, bahawa walau hidup penuh ujian, seorang anak bangsa masih mampu berdiri teguh mengejar ilmu. – Kori Ariff

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button