Artikel pensyarah SLCP diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka
Berita dan gambar Maulana Al-Fin Che Man
PUTRAJAYA, 13 Julai 2025: Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, telah mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 bagi Kategori B: Esei/Kritikan Sastera Eceran (Makalah Separa Ilmiah).
Lebih membanggakan, ini merupakan kali pertama seorang pensyarah dari UUM menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang kesusasteraan negara yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Anugerah berprestij ini diberikan atas makalah beliau yang bertajuk “Strategi Naratif dalam Novel Sejarah: Menjalin Fakta dengan Fiksyen”, yang diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran Mei dan Jun 2022.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, dalam satu acara rasmi yang berlangsung di Hotel Zenith, Putrajaya.
Dr. Mohamed Nazreen menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 berserta sijil penghargaan daripada pihak penganjur.
Dr. Mohamed Nazreen berkata, pengiktirafan ini amat bermakna dan diharapkan dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh serta memperluas pengaruh bidang kesusasteraan di Universiti Utara Malaysia.
“Saya berharap anugerah ini menjadi pemangkin agar bidang kesusasteraan di UUM lebih dikenali dan diiktiraf bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya.
Hadiah Sastera Perdana Malaysia merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan Malaysia kepada karya sastera bermutu tinggi merangkumi pelbagai genre seperti puisi, cerpen, drama, novel, esei dan kritikan sastera.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1971, HSPM terus menjadi platform utama menghargai sumbangan penulis tanah air dalam memperkayakan khazanah sastera kebangsaan.