Bantuan segera PERKESO ringankan beban waris pensyarah UUM
SINTOK: Allahyarham Dr. Shahrizal Badlishah, bekas pensyarah Program Pengurusan Sumber Manusia (HRM) di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah meninggal dunia pada 12 Oktober lalu akibat keradangan lapisan perut.
Beliau yang merupakan Pengerusi Persatuan Staf yang Mempuyai Anak Istimewa UUM telah meninggalkan seorang balu dan enam anak berumur antara 14 hingga 28 tahun di mana salah seorang anak Allahyarham merupakan orang kurang upaya (OKU).
Unit Kebajikan Staf, Jabatan Sumber Manusia bersama Skuad PERKESO Prihatin Negeri Kedah telah menyantuni waris Allahyarham Dr. Shahrizal, Norazlina Ahmad dan menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat.
Pengarah PERKESO Negeri Kedah, Rak Boon Tan Rat dan empat pegawai PERKESO serta Ketua Unit Kebajikan Staf, Mohd Yusnaidi Md Sabri mewakili pihak UUM hadir bagi menjayakan Program Prihatin PERKESO ini.
Lawatan ini susulan hasil semakan daripada pihak PERKESO mendapati Allahyarham mempunyai rekod caruman terdahulu serta waris layak di bawah Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Isteri Allahyarham, Norazlina yang merupakan seorang suri rumah akan menerima Faedah Pengurusan Mayat serta Faedah Pencen Penakat, manakala dua anak beliau di bawah 21 tahun akan menerima Faedah Pencen Penakat, selain mendapat tajaan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) selama setahun.
Pengarah Social Security Management Centre of Excellence (SOSCOE) UUM, Prof. Dr. Fadzli Shah Abd Aziz berkata, ramai pegawai daripada PERKESO yang hadir merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (BHRM) Minor Pengurusan Keselamatan Sosial (SSM) Di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Melaka.
Menurutnya, pelajar ini sebenarnya yang telah membantu membuat semakan dan menguruskan sumbangan tersebut agar dapat disampaikan dengan kadar segera.
Berdasarkan MoA antara UUM dan PERKESO, SOSCOE dipertanggungjawab untuk mengendalikan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (BHRM) Minor Pengurusan Keselamatan Sosial (SSM).
UUM turut berbangga kerana pelajar-pelajar ini telah mengumpulkan sumbangan untuk menaja perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) selama setahun.
Pegawai Faedah PERKESO, Abdul Rahim Wahab berkata, kutipan ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada pensyarah UUM khususnya daripada Pusat Pengajian Perniagaan yang telah mengajar dan memberi ilmu kepada mereka.
“Walaupun arwah tidak mengajar mereka tetapi arwah merupakan warga UUM dan arwah seorang pensyarah yang mempunyai jiwa kebajikan.
“Kehilangan beliau turut dirasai oleh semua staf PERKESO yang belajar di UUM dan pihak kami bersedia menawarkan khidmat prihatin PERKESO kepada warga UUM di masa depan,” katanya. – Mohd Yusnaidi Md Sabri