Bengkel Penyediaan Dokumen MQA-04 perkukuh gerak kerja audit pematuhan akreditasi penuh
Berita dan gambar Rohani Abdullah
PULAU PINANG, 3 Jun 2025: Bengkel Penyediaan Dokumen MQA-04 bagi Penilaian Audit Pematuhan Akreditasi Penuh Fasa Ketiga telah dilaksanakan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Mei lalu di Bayview Hotel.
Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat Swaakreditasi UUM sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kesiapsiagaan Pusat Pengajian dalam menghadapi Penilaian Pematuhan Akreditasi Penuh terhadap program-program yang telah memperolehi Akreditasi Penuh sejak tahun 2013.
Pengarah Pusat Swaakreditasi, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud berkata, pelaksanaan bengkel ini bertujuan untuk membantu penyediaan dokumen MQA-04 secara sistematik, menyeluruh dan berpandukan kepada garis panduan serta kehendak Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA).
Penyertaan seramai 26 peserta yang terdiri daripada wakil sembilan pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) dan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) ini menunjukkan komitmen tinggi Pusat Pengajian terhadap pemantapan kualiti program akademik mereka.
Dr. Zulkiflee selaku fasilitator bengkel juga telah membimbing peserta dengan memberikan penerangan terperinci mengenai struktur, keperluan serta penyediaan kandungan dokumen MQA-04 selaras dengan standard yang digariskan oleh MQA.
Menurutnya, dokumen MQA-04 merupakan instrumen utama dalam proses Penilaian Pematuhan Akreditasi Penuh kerana ia mencerminkan keseluruhan pelaksanaan program akademik secara holistik.
“Setiap pusat pengajian perlu memastikan dokumentasi yang disediakan bukan sahaja lengkap dan relevan, malah menyampaikan gambaran menyeluruh berasaskan bukti pelaksanaan yang sahih, tersusun dan boleh disahkan,” katanya.
Sepanjang bengkel, peserta telah melibatkan diri dalam pelbagai sesi termasuk taklimat teknikal, perbincangan dan semakan dokumen pembuktian pelaksanaan bagi tujuan semakan dan penambahbaikan.
Sesi maklum balas turut diadakan secara konstruktif bagi memastikan setiap laporan yang disediakan lebih komprehensif dan tersusun.
Bengkel ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pemantapan dokumentasi, malah menjadi ruang kolaboratif bagi peserta berkongsi amalan terbaik serta menyelaraskan pemahaman terhadap keperluan Penilaian Pematuhan Akreditasi Penuh yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.