Bengkel Perancangan Strategik ICC fokus pemantapan tadbir urus spin-off/business sandbox
Berita dan gambar Mohamad Lutfi Idris
PULAU PINANG, 5 Jun 2025: Bengkel Perancangan Strategik Pusat Inovasi Dan Pengkomersialan (ICC) dan Pemantapan Tadbir Urus Spin-Off/Business SandBox telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei lalu di Hotel Hompton.
Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, bengkel ini bertujuan untuk memperkemas perancangan strategik ICC dalam aspek pengurusan inovasi dan pengkomersialan, di samping memantapkan tadbir urus syarikat spin-off dan business sandbox.
Menurutnya, tanpa perancangan yang teliti, sesuatu institusi tidak akan mampu mencapai objektif jangka panjang dan tidak dapat memberikan impak yang signifikan terhadap agenda inovasi dan pengkomersialan.
Sesi perbincangan yang dijalankan sepanjang bengkel memberi fokus kepada pelbagai topik utama yang relevan dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran.
Dr. Faizal berkata, pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dirangka selaras dengan Tahun Syarikat Terbitan Universiti (STU) 2025-2026 untuk dilaksanakan di peringkat pusat pengajian dan universiti.
Komitmen dan penglibatan aktif daripada semua peserta bengkel telah memastikan perbincangan yang bernas dan penjanaan idea-idea baharu yang boleh dilaksanakan.