General

Car Boot Sales SOC & C-Mart Meriah dengan sambutan 40 peniaga dan Jabatan Alam Sekitar

Gambar Noor Aina Norrdin

CHANGLUN, 25 Februari 2025: Acara Car Boot Sales anjuran Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dengan kerjasama OIB dan C-Mart telah menarik penyertaan 40 peniaga serta kehadiran Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang turut mempromosikan program kitar semula termasuk pengumpulan e-waste.

Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali berkata, acara ini bertujuan untuk menggalakkan budaya jual beli barangan terpakai, sekali gus memberikan peluang kepada peniaga menjual pelbagai barangan pada harga berpatutan.

Selain itu, menurutnya, ia juga menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan kitar semula dan kelestarian alam sekitar.

Bagi memeriahkan suasana, Pertandingan Mewarna turut diadakan untuk menarik penyertaan kanak-kanak bagi menyerlahkan bakat seni mewarna mereka. Hadiah disediakan kepada para pemenang mengikut kategori umur, menjadikan program ini lebih mesra keluarga.

“Acara ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat yang hadir bukan sahaja untuk membeli barangan terpakai yang berkualiti pada harga lebih rendah, tetapi juga menyokong usaha pengurangan pembaziran.

“Kami ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk menjual dan membeli barangan terpakai yang masih elok, di samping mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula bagi mengurangkan sisa buangan,” katanya.

Jabatan Alam Sekitar pula mengambil inisiatif dengan membuka kaunter pengumpulan e-waste, membolehkan pengunjung menyerahkan barangan elektronik terpakai seperti telefon bimbit lama, komputer rosak, dan perkakas elektrik yang sudah tidak digunakan.

Seorang pengunjung, Encik Ahmad, menyatakan bahawa program ini bukan sahaja bermanfaat dari segi ekonomi tetapi juga membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Biasanya, barang elektrik yang rosak saya biarkan begitu sahaja di rumah. Tapi hari ini saya berpeluang untuk menghantarnya ke kaunter e-waste dan tahu ia akan dilupuskan dengan cara yang betul,” katanya.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, pihak penganjur berharap Car Boot Sales ini dapat diadakan secara berkala bagi memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, peniaga kecil, dan usaha pemeliharaan alam sekitar. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button