General

Citra Reka Warisan Batik Malaysia: Sinergi akademia dan industri perkasa warisan budaya

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SEPANG, 31 Oktober 2025: Seni batik Malaysia terus diangkat sebagai lambang identiti nasional menerusi pelancaran Program Citra Reka Warisan Batik Malaysia yang berlangsung di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersil, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Hani Ezra Husin yang mewakili Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Mohd Izani Ghani.

Dalam teks ucapan Mohd Izani merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Universiti Utara Malaysia (UUM), terutamanya Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), atas inisiatif dan kesungguhan dalam menganjurkan program berprestij ini.

Menurutnya, penganjuran ini mencerminkan manifestasi nyata sinergi dan kolaborasi erat antara institusi akademik dan rakan strategik industri.

Katanya, MAHB sentiasa percaya bahawa lapangan terbang adalah platform strategik dan ideal untuk memperkenalkan dan memartabatkan seni tradisi dan keunikan Malaysia kepada mata dunia.

“Batik Malaysia diraikan sebagai seni yang hidup dan berkembang tanpa kehilangan identitinya.

“Inisiatif UUM ini menunjukkan bagaimana seni dan pendidikan dapat bersatu melahirkan generasi yang kreatif dan berwawasan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Hani Ezra.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Citra Reka Warisan Seni Batik Malaysia ini adalah manifestasi sinergi antara institusi akademik, industri, dan komuniti yang menjadi tunjang pembangunan sosio-ekonomi serta pemeliharaan warisan budaya negara.

Menurutnya, SCIMPA telah mengambil peranan proaktif sebagai pemangkin dalam memperkasakan seni warisan tempatan yang merupakan satu bidang yang bukan sahaja kaya dengan nilai estetika, tetapi juga sarat dengan potensi ekonomi dan identiti nasional.

Katanya, UUM amat berbangga dengan kerjasama erat bersama MAHB dan rakan strategik lain menzahirkan dimensi baru dalam inovasi warisan dan ekonomi kreatif, sekali gus menjadi denyut nadi dalam memperkasakan sosio-ekonomi komuniti tempatan melalui warisan budaya yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

“Langkah strategik ini adalah inisiatif murni yang bakal melakar pembangunan peta program akademik Pengurusan Perniagaan Industri Fesyen Tekstil yang akan ditawarkan di UUM.

“Saya menyeru agar komitmen ini terus diperkasakan lagi, bernadikan inovasi dan memartabatkan seni agar dasar kebudayaan negara kita terus hidup dan relevan di arus globalisasi masa kini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Program ini turut mengetengahkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan reka corak batik kontemporari dan mewarna batik, pameran batik, serta pertunjukan fesyen eksklusif oleh nama besar industri fesyen tanah air seperti Rizman Ruzaini Couture dan Dato’ Asfarena Samion Mon.

Program Citra Reka Warisan Batik Malaysia yang turut melibatkan pelajar ini adalah permulaan kepada pelancaran sedekad SCIMPA pada tahun 2026, selain menyasarkan untuk memperluas legasi batik Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.

Turut diadakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Penyerahan Surat Hasrat (LoI) melibatkan Arisprop Capital Berhad (ACB), Film Directors’ Association of Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), D’ mainiza Pictures Two Sdn Bhd , J&Kel’l Jewellery, Rizman & Ruzaini dan MAHB.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UUM, Maizatulakmam Othman @ Ibrahim; Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail; Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon dan pegawai-pegawai kanan MAHB dan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button