General

Dari tiada dokumen diri ke pentas konvokesyen: Alma Nur Fajrina raih ijazah kelas pertama CGPA 3.70

Gambar Ihsan Alma Nur Fajrina Abdul Razak

SINTOK, 12 November 2025: Kisahnya pernah tular dua tahun lalu apabila dia dilahirkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Namun, berkat ketabahan dan usaha gigih, Alma Nur Fajrina Abdul Razak, 26, kini berjaya menamatkan pengajian dengan kelas pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.7 dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Alma memperoleh MyKad pada 2022 selepas melalui pelbagai cabaran dalam urusan pengesahan identiti.

Menurutnya, kejayaan itu amat bermakna kerana dia tidak pernah bersekolah secara formal sebelum menyertai Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit.

“Saya sangat bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajian seperti yang diimpikan. Perjalanan saya penuh liku kerana saya bermula dari kosong dan perlu belajar banyak perkara sendiri.

“Pernah juga saya hampir berputus asa pada semester ketiga, namun berkat nasihat pensyarah, saya teruskan hingga berjaya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, di sini.

Alma menerima ijazahnya dalam sesi kedua yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Alma turut menzahirkan penghargaan kepada pihak SBJK dan UUM yang banyak membantu sejak awal perjalanan pendidikannya.

“Saya amat menghargai bantuan SBJK yang memberi peluang untuk saya belajar walaupun ketika itu saya masih tiada dokumen, serta UUM yang sudi menerima saya sebagai pelajar,” katanya yang kini bekerja di Bank Islam Kuala Lumpur.

Kisah Alma pernah menarik perhatian ramai apabila beliau tidak dapat bersekolah di peringkat rendah dan menengah kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri. Ayahnya merupakan warganegara Malaysia dari Pahang, manakala ibunya berasal dari Indonesia.

Pada usia 18 tahun, Alma mula bersekolah secara formal di SBJK selama setahun dan berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang.

Dengan bantuan pihak sekolah, dia kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya, Cheras, dan sekali lagi mencapai keputusan baik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum diterima masuk ke UUM pada April 2021.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button