Delegasi UUM perkenal AquaSpot AI di MITEC, warnai ASEAN AI Malaysia Summit 2025
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazlyna Harun
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2025: ASEAN AI Malaysia Summit 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) mencatat satu pencapaian penting dalam kemajuan teknologi negara dengan pelancaran ILMU (Intelek Luhur Malaysia Untukmu), model bahasa skala besar multimodal (LLM) pertama yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia.
Delegasi UUM terdiri daripada Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan Pusat Pengajian Komputeran, Prof. Dr. Osman Ghazali; Ketua Penyelidik, Prof. Madya Ts. Dr. Ghozali Hassan dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazlyna Harun dari Pusat Pengajian Komputeran (SOC); Prof. Madya Dr. Nooraini Yusoff dari Fakulti Sains Data dan Komputeran, Universiti Malaysia Kelantan (FSDK, UMK); Pembantu Penyelidik dari Makmal Penyelidikan Sains Data SOC UUM, Dr. Olukayode Onasoga; dan wakil pelajar dari SOC, Ewe Leon (Sarjana Sains Teknologi Maklumat), telah menyertai pameran tersebut untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih AquaSpot AI.
Dr. Ghozali berkata, AquaSpot AI berfungsi sebagai sistem pengesanan penyakit protozoa bintik putih berasaskan AI untuk sektor akuakultur, khususnya penternak ikan.
Menurutnya, projek ini berkoloborasi bersama pakar penyakit ikan iaitu Dr. Kua Beng Chu dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Batu Maung, Pulau Pinang.
Aplikasi ini boleh digunakan oleh penternak komersial dan pengguna domestik, khususnya komuniti luar bandar, memandangkan akses kepada khidmat veterinar yang terhad dan keperluan kawalan penyakit secara pantas.
Pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini merupakan pencapaian bersejarah dalam landskap inovasi digital negara.
Acara selama dua hari itu turut dihadiri oleh pemimpin kerajaan, pakar teknologi dari industri dan institusi akademik, serta delegasi antarabangsa menjadikan ASEAN AI Malaysia Summit 2025 sebagai simbol keupayaan dan kemampuan Malaysia dalam teknologi kecerdasan buatan.
Secara keseluruhnnya, penyertaan delegasi UUM dalam ASEAN AI Malaysia Summit 2025 telah memberi peluang berharga untuk memperkukuhkan jaringan bersama industri, agensi, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan delegasi antarabangsa.
Sidang kemuncak itu turut menyumbang kepada agenda nasional dalam memupuk kesedaran kecerdasan buatan di kalangan kalangan masyarakat.
Selain itu, penekanan terhadap kesedaran perkongsian data dapat dirasai oleh masyarakat Malaysia. Perjalanan ini sedang menuju ke puncaknya, namun dengan kerjasama yang berterusan serta komitmen bersama pemegang taruh, bagi merealisasikan cita-cita yang dihasratkan.