DHL sedia bantu gilap peluang kerjaya pelajar UUM
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 13 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan delegasi DHL Asia Pacific Shared Services Centre (APSSC) di Bilik Mesyuarat Naib Canselor hari ini sebagai langkah memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan industri.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mengalu-alukan kehadiran Ketua Sumber Manusia DHL APSSC, Tharaka De Silva bersama-sama Andrew Fabian, Saiful Nahar serta Waynnie Goh sambil merakamkan penghargaan atas kesediaan pihak DHL meluangkan masa untuk bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi universiti.
Dr. Ahmad Martadha berkata, UUM amat menghargai kerjasama dengan industri khususnya DHL APSSC atas penglibatan berterusan bersama universiti melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) serta pusat tanggungjawab dan pusat pengajian berkaitan.
Menurutnya, perkembangan hubungan ini bermula daripada penglibatan awal, diikuti dengan perbincangan yang konstruktif dan seterusnya diterjemahkan kepada inisiatif berimpak tinggi yang berfokuskan pelajar, sekali gus mencerminkan komitmen bersama terhadap pembangunan bakat serta kerjasama antara industri dan akademia.

“UUM juga merakamkan penghargaan kepada DHL APSSC atas pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan bersama UUM, termasuk sokongan pembangunan profesional seperti sesi pembangunan CV, serta platform berteraskan industri seperti sesi pembentangan kajian kes dan temu duga.
“Inisiatif-inisiatif ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kemahiran kebolehpasaran dan kesiapsiagaan tempat kerja dalam kalangan pelajar UUM dan saya amat berterima kasih atas sumbangan serta komitmen DHL APSSC,” katanya.
Dr. Ahmad Martadha berkata, melangkah ke hadapan, UUM juga amat berminat untuk meneroka dengan lebih lanjut inisiatif School of Hard Knocks bersama DHL APSSC sebagai satu platform untuk meningkatkan kesiapsiagaan kerjaya, disiplin profesional dan pembangunan kepimpinan terutamanya bagi pelajar yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Menurutnya, UUM turut menghargai sokongan dan keterbukaan DHL APSSC dalam menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar UUM kerana latihan industri merupakan antara laluan paling berkesan untuk membantu pelajar memperoleh pendedahan dunia sebenar, membina keyakinan diri serta membentuk minda profesional yang diperlukan oleh industri.
“UUM berharap dapat terus memperkukuhkan aspek ini, bukan sahaja dari segi peluang penempatan, malah kualiti pembelajaran berasaskan pengalaman secara keseluruhan, di samping dapat memberi peluang kepada staf UUM untuk mengikuti latihan industri di DHL APSSC.
“Saya percaya masih banyak lagi peluang yang boleh diterokai bersama seperti penglibatan industri dalam bilik darjah, program pementoran dan bimbingan, projek bersama berasaskan permasalahan sebenar industri serta inisiatif lain yang mampu mewujudkan nilai bersama kepada DHL APSSC dan UUM,” katanya.

Sementara itu, Tharaka De Silva berkata, pihaknya juga sangat berbesar hati kerana berpeluang mengadakan jalinan kerjasama dengan UUM.
Menurutnya, DHL ingin memperkukuhkan kerjasama sedia ada yang akan memfokuskan kepada hubungan pelajar dengan industri dalam menangani cabaran perniagaan, menawarkan peluang latihan dan membangunkan kepimpinan digital.
Katanya, kerjasama ini akan memastikan graduan universiti mendapat pengalaman praktikal dan kemahiran yang relevan dengan keperluan DHL APSSC dalam bidang logistik dan perkhidmatan kewangan global.
“DHL juga menawarkan elaun kepada tujuh pelajar yang bakal mengikuti latihan industri di DHL sebanyak RM1,750 di mana pelajar ini dipilih melalui DHL APPSC’s Finance Challenge,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian anugerah kepada tujuh pemenang DHL APSSC–UUM Finance Challenge 2025 di mana johan dimenangi oleh Yalini a/p Ramesh dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) yang menerima wang tunai RM750.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam dan pegawai-pegawai kanan UUM.



