General

Dr Megat Sany terkenang kenangan di UUM

Gambar Jurufoto JKK

SINTOK, 18 Februari 2025: “Tak sangka suatu hari nanti, saya akan berdiri di sini, menyampaikan ucapan di dewan ini,” luah Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi ketika berkongsi kisah perjalanan hidupnya sebagai alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena sambutan Hari Pengasasan ke-41 universiti ini, pagi tadi.

Mengimbau kembali detik awal pengajiannya, beliau terharu apabila melihat montaj sejarah UUM yang membawa ingatannya kembali ke tahun pertama sebagai pelajar di Kampus Tanah Merah.

Ketika pengumuman pemindahan kampus ke Sintok dibuat, beliau bersama rakan-rakan tertanya-tanya, mengapa perlu berpindah ke kawasan yang ketika itu hanya dikenali sebagai hutan belantara?

“Waktu itu, kami sudah cukup selesa di Tanah Merah. Fasiliti yang ada pun sudah memadai. Tetapi kerana rasa ingin tahu, kami menyewa kenderaan untuk melihat sendiri bakal kampus baru kami,” katanya sambil tersenyum mengenang pengalaman itu.

Namun, perjalanan mereka bukan tanpa cabaran.

Dalam perjalanan ke Sintok, kenderaan yang dipandu mereka meluncur sedikit laju dan akhirnya mereka ditahan polis di kawasan Napoh.

Tetapi itu hanyalah permulaan. Setibanya di tapak kampus, suasana jauh berbeza daripada apa yang dibayangkan.

“Tak dapat saya gambarkan betapa berhabuknya waktu itu. Lori-lori hantu berulang-alik, jalan tanah merah berdebu tebal. Ketika itu, bangunan Dewan Mu’adzam Shah antara yang awal dibina, dan kami tertanya-tanya, sempatkah ia siap sebelum kami berpindah?” katanya.

Apabila akhirnya berpindah ke Sintok, keadaan masih jauh dari sempurna. Bangunan masih dalam pembinaan, dan kemudahan asas seperti air bersih belum stabil.

“Rambut kami pun jadi keras kerana airnya penuh klorin. Makanan yang kami makan pula bercampur pasir, sebab habuk begitu banyak,” katanya yang mengundang tawa hadirin.

Namun, semua kesusahan itu menjadi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Kini, kampus yang dahulunya hanya hutan dan debu telah berubah wajah menjadi sebuah institusi ilmu yang gah, dikelilingi kehijauan alam dan tasik yang mendamaikan.

“Pelajar UUM hari ini begitu beruntung dapat menikmati segala kemudahan moden di kampus yang indah ini.

“Kami dahulu melalui pelbagai cabaran, tetapi itulah yang menjadikan kami lebih kuat,” katanya.

(Untuk rekod, Dr Megat Sany bernombor matrik 2695 pernah tinggal di Kolej D9, Kolej TNB dan Kolej EON. Beliau bergraduat tahun 1993, mengikuti program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan). – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button