General

Dua pelajar UUM terpilih sebagai Bank Islam Youth Ambassador 2024/2025

Gambar Muhammad Nur Khalish Abdul Ghani (Pelajar SEFB)

KUALA LUMPUR, 19 November 2024: Dua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Jimmy Kalom dan Muhammad Nur Khalish Abdul Ghani dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah terpilih sebagai Bank Islam Youth Ambassador (BIYA) bagi sesi 2024/2025. 

Kedua-dua pelajar ini menghadiri sesi onboarding di Menara Bank Islam selama dua hari pada 14 November lalu.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan (GCHRO), Iskandar Shah Zulkarnain turut berkongsi pandangan dan nasihat bermakna untuk membimbing mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai duta muda Bank Islam. 

Dalam perkongsian tersebut, Iskandar Shah menekankan pentingnya perbualan yang ringkas tetapi bermakna yang mampu memberi impak besar kepada individu lain.

Beliau turut menggalakkan peserta untuk mempelajari kemahiran baharu yang sukar tetapi berharga seperti pemasaran digital yang mampu meningkatkan daya saing dalam dunia profesional. 

Iskandar Shah juga menyeru agar duta muda tidak takut untuk berkenalan dengan individu baharu dan meneroka peluang di sekeliling mereka.

“Tidak pernah terlambat untuk membina karakter tambahan yang akan membantu mereka menjadi lebih berjaya di masa hadapan.

“Saya juga berharap agar pelajar memanfaatkan masa dengan bijak dan belajar daripada pengalaman orang lain kerana pembelajaran melalui mereka yang lebih berpengalaman adalah aset yang amat bernilai,” katanya.

Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan kredibiliti dan potensi pelajar UUM tetapi juga membuka peluang besar kepada mereka untuk berkembang sebagai pemimpin masa depan.

Ia merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan dan membuktikan keupayaan pelajar UUM dalam menonjolkan kecemerlangan di peringkat nasional. – Jimmy Kalom (Pelajar SEFB)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button