Festival Tradisi 2025 platform holistik pemerkasaan komuniti dan pengayaan pembelajaran pelajar UUM
Gambar STHEM
CHANGLUN, 17 Jun 2025: Festival Tradisi 2025, yang berlangsung selama dua hari dari 13 hingga 14 Jun lalu di Dataran Kampung Tradisi, Changlun, telah menghimpunkan sinergi yang signifikan antara komuniti setempat dan institusi pengajian tinggi dalam memacu pembangunan sosioekonomi tempatan melalui penganjuran acara berasaskan komuniti (Community-Based Event).
Inisiatif ini merupakan hasil kolaboratif antara Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan sokongan padu daripada Event Management Training, Research, Activities and Consultancy (EMTRAC), Pusat Pengujian Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) serta komuniti Kampung Tradisi.
Dengan tumpuan khusus kepada penduduk Kampung Tradisi, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar STHEM, Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar berkata, festival ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti dan masyarakat melalui penglibatan secara langsung pelajar dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan acara.
Menurutnya, lebih 300 pelajar STHEM daripada enam kursus berkaitan pengurusan acara dan pelancongan sukan telah terlibat sepenuhnya, menjadikan festival ini sebagai wahana pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang mendalam dan autentik.
“Festival ini bukan sekadar penganjuran acara semata-mata, malah menjadi platform pembentukan kompetensi insaniah pelajar seperti kepimpinan, komunikasi efektif, dan pengurusan projek dalam suasana komuniti sebenar,” katanya.
Pelbagai segmen menarik disusun bagi memenuhi objektif pembangunan komuniti dan pengayaan budaya termasuk Sukan Rakyat, Fun Walk Tradisi, demonstrasi masakan tradisional, pertandingan pakaian tradisional, book picnic, flower walk, dan program kitar semula.
Festival ini turut menyerlahkan pameran serta jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), di samping Pertandingan Master Chef Warisan Kubang Pasu yang mengetengahkan keunikan gastronomi tempatan. Sorotan istimewa pada malam pertama ialah program Kubang Pasu Berselawat yang bertemakan solidariti terhadap Palestin.
Program Kubang Pasu Berselawat telah mendapat sokongan penuh dan tajaan daripada Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, selain turut demeriahkan dengan persembahan qasidah oleh kumpulan Syababul Muntazar dan tazkirah ringkas dari Muhammad Syazwan Menon, sekali gus menjadikan elemen kerohanian sebagai teras penting dalam acara ini.
Sementara itu, Penghulu Mukim Temin, Ridhuan Ismail, turut merakamkan penghargaan atas usaha pihak universiti dalam menjadikan festival ini sebagai wadah pemberdayaan komuniti.
Menurutnya, pihaknya amat berterima kasih atas inisiatif menganjurkan Festival Tradisi 2025. Ia bukan sahaja memberi nilai ekonomi kepada penduduk, malah memupuk semangat muafakat dan memperkukuh jati diri warisan budaya masyarakat di sini.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Masnita Misiran turut menyatakan komitmen pusat tersebut dalam menyokong program pembangunan komuniti melalui ekosistem akademik universiti.
Menurutnya, Festival Tradisi 2025 selaras dengan matlamat Universiti Utara Malaysia untuk membangunkan Kampung Tradisi dan beberapa kawasan terpilih lain di bawah inisiatif Program Transformasi Changloon.
“Kita mahu melihat pelajar, universiti dan komuniti saling peduli, bekerjasama dan saling membantu. Melalui program ini, kita dapat menyaksikan nilai-nilai ini dizahirkan secara tulus dan berkesan dalam semua lapisan yang terlibat,” katanya.
Festival ini juga menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti pendidikan berkualiti (SDG 4), pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang baik (SDG 8), komuniti mampan (SDG 11), pengeluaran dan penggunaan bertanggungjawab (SDG 12), serta perkongsian strategik untuk pembangunan (SDG 17).
Sebagai sebuah program yang mengintegrasikan elemen akademik, budaya, keusahawanan, dan kerohanian, Festival Tradisi 2025 membuktikan potensi tinggi universiti sebagai agen perubahan komuniti melalui pendidikan yang transformatif dan bersifat holistik. – Dr. Norwani Mohd Nazari