Fokus penerbitan, KPI pensyarah disusun semula tingkat prestasi universiti
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 2 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) kini mempergiatkan usaha meningkatkan prestasi akademik khususnya dalam aspek penerbitan berindeks Scopus menerusi penstrukturan semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pensyarah serta penambahbaikan sistem penilaian prestasi tahunan.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pencapaian semasa indeks penerbitan berada pada tahap 0.67, masih jauh daripada sasaran dua artikel jurnal berindeks yang ditetapkan, sekali gus memerlukan perhatian serius semua pihak termasuk barisan dekan dan kepimpinan pusat pengajian.

“Pensyarah perlu mempunyai penerbitan. Itu asas. Kita mahu capai sekurang-kurangnya dua artikel jurnal berindeks bagi setiap pensyarah secara keseluruhan,” katanya sambil menegaskan keperluan sokongan penuh daripada pihak pengurusan pusat pengajian.
Sebagai langkah strategik, universiti memutuskan agar pensyarah yang sangat produktif dalam penulisan akademik dan aktif menerbitkan artikel dalam jurnal Scopus Q1 dan Q2 diberikan KPI khusus yang hanya memfokuskan kepada penerbitan tanpa dibebankan dengan tugas pengajaran.
“Kita tidak mahu bebankan mereka dengan pengajaran. Jika mereka mampu hasilkan sehingga 10 penerbitan, kenapa tidak kita fokuskan KPI mereka kepada penerbitan sahaja,” katanya di Majlis Amanat Naib Canselor di EDC-UUM, hari ini.
Dalam pada itu, proses pengambilan pensyarah baharu turut diperketatkan dengan menilai H-index calon sebagai salah satu kriteria utama.

Calon pensyarah baharu disasarkan mempunyai sekurang-kurangnya H-index satu atau dua, bagaimanapun universiti baru-baru ini berjaya mengenal pasti calon pensyarah muda berpotensi tinggi dengan H-index 13.
“Ini aset universiti dan pensyarah muda sebegini mempunyai budaya kerja yang berbeza dan sangat produktif,” katanya.
Universiti turut melihat pengambilan lebih ramai pelajar pascasiswazah tempatan dan antarabangsa sebagai strategi meningkatkan peratusan penulis pertama, yang kini berada pada tahap 51 peratus.
Melalui keperluan satu penerbitan Scopus bagi pelajar pascasiswazah, penyelia secara automatik berpeluang menjadi penulis pertama atau kedua, sekali gus meningkatkan statistik penerbitan universiti.
Dalam usaha memastikan keadilan, sistem penilaian prestasi dan kriteria kenaikan pangkat akan disemak semula bagi mengambil kira perbezaan bidang dan cabaran penyeliaan khususnya bagi bidang yang kurang mendapat sambutan pelajar seperti matematik.

Dari segi sokongan penyelidikan, universiti memperuntukkan pelbagai insentif termasuk dana RM10,000 kepada pensyarah baharu untuk penyelidikan, RM5,000 kepada setiap Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) serta galakan kepada pusat pengajian yang mempunyai lebihan peruntukan untuk menyediakan geran dalaman kepada pensyarah.
“Jangan ada lagi kes pensyarah tiada geran, lalu markah penyelidikannya kosong sedangkan dia telah berusaha,” tegasnya.
Selain kecemerlangan akademik, universiti turut memberi penekanan kepada kebolehpasaran graduan dengan sasaran gaji premium RM4,000 dan ke atas, khususnya melalui penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan.
Penyediaan kiosk keusahawanan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut membantu meningkatkan pendapatan pelajar.

Usaha memperkukuhkan dana zakat, wakaf dan endowmen juga diteruskan dengan sasaran peningkatan melebihi RM9 juta yang dicapai tahun lalu termasuk kerjasama strategik bersama alumni dan pihak industri seperti Perodua yang bersetuju menjenamakan inapan siswa melalui inisiatif bernilai RM350,000.
Mengakhiri amanatnya, beliau mengingatkan bahawa pencapaian semua KPI ini perlu disandarkan kepada nilai kerohanian dan keikhlasan, dengan menjadikan Surah Al-Anfal sebagai sumber inspirasi dalam memacu kejayaan bersama.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta Bursar, Mohtar Hasim.



