General

Forum bincang cabaran kebebasan media dalam era digital

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 10 Jun 2025: Forum bertajuk “Siber, Suara dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital” hari ini menjadi platform penting membincangkan perubahan dan cabaran yang dihadapi industri media dalam era digital.

Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Dato’ Yong Soo Heong berkata, forum ini bukan sekadar ruang wacana, tetapi juga medan menilai semula hala tuju kewartawanan dalam menghadapi landskap digital yang kompleks dan pantas berubah.

Menurutnya, kecenderungan terhadap kandungan ringkas, sensasi dan tular telah menghakis nilai kewartawanan mendalam yang memerlukan ketelitian dan kefahaman menyeluruh terhadap isu.

“Wartawan hari ini perlu bukan hanya pantas, tetapi juga tangkas, cekap dan berwibawa dalam menyesuaikan diri dengan perubahan media yang didorong oleh automasi, kecerdasan buatan (AI) dan platform digital,” katanya di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau menegaskan bahawa AI kini mempengaruhi cara maklumat dihasilkan dan diterima, termasuk kemampuan menjana artikel automatik, gambar palsu (deepfake) serta naratif yang sukar dibezakan daripada realiti.

“Kita tidak harus tunduk kepada teknologi, sebaliknya perlu memanfaatkannya sebagai alat. Nilai kemanusiaan dan prinsip kewartawanan perlu terus dipertahankan demi mengekalkan kepercayaan awam,” katanya.

Forum tersebut menampilkan Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail, dan Pensyarah Kanan SOL, Dr. Hafidz Hakimi Haron bersama moderator, Nur Nazirah Hisham yang merupakan pelajar SOL.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, forum ini mencerminkan komitmen universiti, khususnya Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), dalam memperkukuh jaringan profesional dan meningkatkan kesedaran tentang kebebasan media serta cabaran perundangan yang berkaitan.

Beliau turut menekankan kepentingan mendidik pelajar yang bakal menjadi pengamal undang-undang dan media mengenai tanggungjawab etika dalam era digital.

Teks beliau telah dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Majlis turut menyaksikan pertukaran dokumen Surat Penyataan Hasrat (LoI) antara UUM dan MPI serta pelancaran Kempen Internet Selamat (K-DAT) UUM yang menampilkan ikon K-DAT, Muqriz Adam Mahadzir.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button