General

Graduan manfaatkan bakat dan potensi demi kemajuan negara

SINTOK, 10 November 2024: Bakat dan potensi yang dimiliki graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) seharusnya dimanfaatkan untuk memastikan Malaysia terus maju seiring perkembangan dunia.

Canselor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah bertitah, bakat ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam pelbagai aspek, sama ada dari segi ekonomi, teknologi, mahupun sosial.

Titah baginda, gunakanlah bakat dan kebolehan yang telah dipelajari di universiti ini,untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara.

“Universiti ini telah mendidik dan melatih dalam pelbagai bidang keilmuan. Oleh itu, setiap daripada graduan semua seharusnya mempunyai tanggungjawab, untuk memanfaatkan bakat dan ilmu yang ada bagi kepentingan negara tercinta.

“Graduan harus sedar bahawa kejayaan yang dikecapi dalam kehidupan ini bukan sekadar untuk dinikmati oleh diri sendiri, namun sebenarnya hendak dikongsi dan dimanfaatkan bersama-sama orang lain,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-37 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Tuanku Canselor bertitah, bakat dan kemahiran yang ada pada diri mestilah memberi manfaat dan impak yang positif kepada masyarakat, sama ada melalui penglibatan dalam bidang profesional atau sumbangan secara kerja amal kepada komuniti dan masyarakat.

Titah baginda, seandainya menghadapi cabaran dan kegagalan, sebenarnya itu adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan. Kegagalan boleh membentuk ketahanan diri dan membantu memahami kekuatan serta kelemahan diri.

“Graduan mesti terus belajar sama ada melalui pendidikan formal atau luar pendidikan formal. Kekalkan rasa ingin tahu kerana “curiosity is the engine of achievement”.

“Tetapi graduan harus sedar bahawa hari ini bukan penamat kepada proses pembelajaran sebaliknya pembelajaran di luar pendidikan formal akan lebih mematangkan graduan untuk mengharungi kehidupan di dunia yang serba mencabar ini,” titah baginda.

Pagi ini, seramai 114 graduan menerima pingat dan ijazah masing-masing yang dikurniakan oleh Tuanku Canselor.

Turut menerima adalah graduan sulung bagi program Doktor Pendidikan, Sarjana Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf).

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button