Graduan perlu tuntut ilmu baharu dan beri kebaikan kepada masyarakat
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 13 November 2024: Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) diminta untuk menguasai ilmu baharu, seterusnya memberi kebaikan kepada masyarakat sekeliling.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, semua graduan harus bersikap positif dan sentiasa memberi kebaikan kepada orang di sekeliling demi mencapai kejayaan.
Menurutnya, kejayaan diukur melalui kebahagiaan seseorang di mana manusia akan sentiasa mencemburui akan seseorang yang kelihatan bahagia dan tenang, justeru kedua-dua aspek ini iaitu ketenangan dan kebahagiaan sememangnya menjadi impian kepada sesiapa sahaja.
Katanya, pasti golongan yang bahagia dan tenang ini adalah dalam kalangan mereka yang redha dan bersyukur atas apa yang diperoleh, malah tidak mustahil mereka ini lebih memberi manfaat kepada orang di sekeliling mereka berbanding mereka yang diukur kejayaan dari segi material.
“Dalam hidup ini, usahlah berasakan bahawa diri kita ini lebih baik berbanding orang lain kerana kita tidak tahu adakah kejayaan yang telah dicapai memberi manfaat kepada orang di sekeliling kita. Kejayaan yang dipaparkan oleh mereka di sekeliling wajar menjadi iktibar agar kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mereliasasikan impian masing-masing dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya ingin membawa sejenak graduan untuk mengingati semula kehidupan sebagai murid dan pelajar yang dihantar oleh ibu bapa ke institusi pendidikan untuk menimba ilmu sejak kecil lagi. Proses pemindahan ilmu bagi topik-topik yang sukar difahami daripada seorang guru kepada pelajar, bukanlah mudah tetapi sebagai guru, mereka akan sentiasa berusaha memindahkan ilmu tersebut kepada anak-anak murid mereka.
“Apabila para graduan belajar di UUM, perkara sama juga berlaku. Bagaimana dan apakah pendekatan yang diambil terpulang kepada diri masing-masing. Yang penting ilmu tersebut dapat dipindahkan, dikongsi dan seterusnya difahami oleh semua pelajar yang diajar oleh pensyarah,” katanya pada sesi keenam Majlis Konvokesyen Ke-37 di Dewan Mu’adzam Shah, pagi ini.
Dr. Mohd Foad berkata, begitu juga dalam konteks pemindahan dan perkongsian ilmu melalui kajian-kajian yang telah dan sedang dilaksanakan, pendekatannya tentulah dalam pelbagai bentuk. Di samping pendekatan konvensional, pendekatan terbaharu menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau lebih dikenali sebagai AI juga sewajarnya digunakan.
Beliau sarankan agar graduan sentiasa terus belajar ilmu-ilmu baharu melibatkan teknologi terkini seperti AI meskipun setelah berjaya menggenggam segulung ijazah. Dengan menimba ilmu terkini dan berteknologi moden, graduan tidak akan ketinggalan jauh berbanding orang lain.
“Ingatlah, sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Pagi ini, seramai 888 graduan menerima ijazah sarjana muda masing-masing yang disampaikan oleh Naib Canselor.