General

Jadikan UUM ‘Top Business School’

Gambar Muhammad Shamsul Shafie dan Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 18 Februari 2025: Sebagai universiti pengurusan terkemuka, Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak boleh terperangkap dalam nostalgia kejayaan silam, sebaliknya bergerak ke hadapan dan berinovasi bagi memastikan UUM kekal relevan dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin kompetitif.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, UUM sudah dikenali sebagai universiti yang berfokuskan pengurusan.

Menurutnya, satu langkah yang baik jika dijenamakan UUM sebagai Top Business School di negara ini.

Katanya, bakal-bakal pelajar di peringkat antarabangsa sedang mencari-cari universiti terkemuka dalam negara ini dalam kategori Top Business School.

“Lebih empat dekad telah berlalu sejak UUM mula beroperasi sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berteraskan bidang pengurusan.

“Dalam tempoh ini, kita telah menyaksikan perubahan dan kemajuan yang begitu pesat, bukan sahaja dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga dalam membentuk keunggulan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-41 dan Penghargaan Petugas Majlis Konvokesyen Ke-37 di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Beliau berkata, UUM tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian semalam, tetapi mesti sentiasa bersedia untuk berkembang, berubah, dan menyesuaikan diri dengan keperluan baharu.

Menurutnya, dalam data terbaru Education Malaysia Global Services (EMGS), peratusan tertinggi permohonan dari luar negara untuk menyambung pengajian di Malaysia adalah bidang pentadbiran dan perniagaan.

“Universiti yang paling sesuai diasosiasikan dengan pentadbiran dan perniagaan ialah UUM.

“UUM mesti muncul sebagai nombor satu Top Business School di negara ini, sekali gus membuktikan bahawa universiti ini menerima bilangan pelajar antarabangsa teramai yang mendaftar diri,” katanya.

Dr. Megat Sany berkata, beliau yakin dan percaya bahawa UUM mampu melonjak lebih tinggi lagi dari segi kedudukan semasa dan menjadi unggul dalam bidang pengurusan dan perniagaan seperti dihasratkan oleh negara sejak penubuhan universiti ini pada 16 Februari 1984.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas Majlis Konvokesyen UUM Ke-37 yang telah berlangsung dengan jayanya pada November lalu.

Majlis turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif baharu yang menjadi simbol transformasi UUM dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih maju dan penyampaian sijil iaitu Ihya Ramadan, e-FloraCyntok, Smart Security Campus, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah Ikon Sukan UUM, ASEAN Student Mobility Programme dan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

Terdahulu, Dr. Megat Sany dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah menanam pokok di hadapan Dewan Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button