JBPM Negeri Kedah berhasrat jalin kerjasama strategik dengan UUM
Gambar RMD dan JPBM Kedah
ALOR SETAR, 3 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Jabatan Canselori, hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah di Pejabat Pengarah JBPM Negeri Kedah, Jalan Suka Menanti, dekat sini.
Kunjungan tersebut yang diketuai oleh Pengarah RMD, Shahrul Nizam Ahmad bersama Timbalan Pengarah, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly dan Pegawai RMD, Nur Azimah Abdul Rahman telah disambut YS PKPjB Awang Hidzel Awang Bujang.
Shahrul Nizam berkata, kunjungan ini adalah sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama strategik dalam aspek pengurusan risiko organisasi yang merangkumi keselamatan kebakaran, kecemasan dan pengurusan bencana.
Selain itu, menurutnya, tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pihak JBPM berhubung pemerkasaan keselamatan kebakaran di kampus UUM, termasuk cadangan penubuhan Fire Post dan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK).
Sementara itu, Awang Hidzel menzahirkan penghargaan kepada UUM atas kesudian mengadakan lawatan ke pejabat beliau.
Beliau berkata, lawatan ini mencerminkan inisiatif proaktif UUM dalam mengutamakan aspek keselamatan kebakaran, di samping menyatakan kesediaan JBPM untuk terus memberikan sokongan kepakaran pada masa hadapan.
“JBPM Negeri Kedah juga berhasrat untuk menjalin kerjasama strategik bersama UUM sehingga ke peringkat pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA).
“Ini kerana UUM memiliki kepakaran akademik yang mendalam dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan risiko dan insurans, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), pengurusan sumber manusia, pentadbiran awam, pengurusan bangunan dan kemudahan, serta perancangan bandar dan wilayah yang melibatkan aplikasi sistem maklumat geografi (GIS),” katanya.
Kerjasama strategik tersebut dijangka meliputi pelbagai aspek, termasuk penganjuran program latihan bersama, perkongsian kepakaran berkaitan pengkomersialan harta intelek, pembangunan inovasi, serta pelaksanaan penyelidikan dan penerbitan jurnal akademik.
Seterusnya, beliau turut menyatakan minat untuk meneroka program kerjasama yang membolehkan kakitangan JBPM melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah dalam bidang Pengurusan Risiko serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
“Saya sendiri berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UUM,” katanya.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata sebagai simbolik kepada permulaan kerjasama yang lebih erat antara UUM dan JBPM Negeri Kedah. – Nurulwajhi Yahaya