Jejak Barakah Ramadan Asasi Pengurusan semarakkan bulan Ramadan
Gambar EXCO Media dan Komunikasi, Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2025/2026
BUKIT KAYU HITAM, 1 Mac 2026: Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2025/2026 telah menganjurkan Program Jejak Barakah Ramadan sebagai satu inisiatif mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak melalui pelaksanaan aktiviti kerohanian dan kebajikan yang memberi impak kepada komuniti serta warga kampus.

Program anjuran EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan ini dilaksanakan bagi menyemarakkan amalan bersedekah, di samping memupuk nilai keprihatinan, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar Pusat Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.
Delegasi persatuan telah mengadakan aktiviti pengagihan moreh kepada beberapa agensi kerajaan di sekitar Bukit Kayu Hitam, Changlun dan Jitra sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Keselamatan UUM, Balai Polis Bukit Kayu Hitam, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Balai Polis Changlun, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Balai Bomba dan Penyelamat Jitra serta Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Jitra.
Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar, Mohd Idzwan Yacob berkata, inisiatif ini bertujuan menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.

Menurutnya, program diteruskan dengan pengagihan juadah sahur kepada 165 pelajar Asasi Pengurusan sebagai satu usaha kebajikan bagi membantu meringankan beban pelajar dalam membuat persiapan sahur.
“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan amalan bersahur dalam kalangan pelajar selaras dengan kepentingannya sebagai amalan sunnah serta sumber tenaga untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna,” katanya.
Secara keseluruhannya, Jejak Barakah Ramadan bukan sahaja menjadi medium untuk mengimarahkan Ramadan melalui aktiviti berimpak positif, malah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara Pusat Asasi Pengurusan UUM dengan agensi-agensi terlibat.
Program ini turut membuktikan komitmen mahasiswa dalam menerapkan nilai kesukarelawanan, memperkukuhkan semangat kebersamaan serta menyuburkan budaya saling membantu antara pihak universiti dan komuniti sekitar. – Nur Hidayah Abdullah dan Siti Khadijah Rohani



