Jejak Ramadan UUM: 30 keluarga pelajar B40 dibantu
Berita dan gambar SELECT dan MPP UUM
SIK, 11 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmennya dalam membantu golongan memerlukan melalui Program Jejak Ramadan UUM 2025, satu inisiatif kolaborasi antara Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UUM).
Seramai 30 pelajar B40 UUM di daerah Sik telah menerima sumbangan Bakul Ramadan bagi meringankan beban mereka dalam menyambut bulan Ramadan.
Delegasi UUM yang diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut berkesempatan melawat tiga rumah pelajar UUM di Sik untuk menyampaikan bantuan secara langsung pada 7 Mac lalu.
Program ini turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Maizatulakmam Othman @ Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UUM) Sesi 2024/2025, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, inisiatif ini bukan sekadar menghulurkan bantuan, tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa UUM sepanjang bulan Ramadan.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga masa untuk kita berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
“Saya berharap program usaha MPP UUM bersama SELECT HEP UUM dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Muhammad Haikal Che Johari meluahkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan UUM.
Menurutnya, sumbangan diberikan ini diharap meringankan bebanan dia sekeluarga menyambut Ramadan.
Program Jejak Ramadan UUM 2025 mencerminkan usaha berterusan universiti dalam menjalankan tanggungjawab sosial dan memperkukuh hubungan erat antara mahasiswa, universiti, dan masyarakat setempat.