General

Kelemahan tadbir urus punca ketirisan sektor awam – Pengerusi LPU UUM

Berita dan gambar Dr. Siti Zaleha Ahmad Nadzim

PULAU PINANG, 24 Julai 2025: “Tadbir urus yang lemah menjadi antara punca utama pembaziran sumber awam, ketirisan perbelanjaan dan kelemahan sistem penyampaian sektor awam,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar.

Beliau berkata, usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti perlu menjadi agenda utama dalam setiap organisasi awam, dan universiti turut memainkan peranan strategik dalam membangunkan penyelesaian berasaskan ilmu untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam sektor awam.

“Universiti bukan sahaja pengeluar tenaga kerja berpendidikan tinggi, tetapi juga rakan strategik kerajaan dalam menghasilkan solusi berasaskan ilmu untuk memperkukuh kecekapan dan integriti dalam tadbir urus sektor awam,” katanya ketika merasmikan Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2025 di Hotel Bahang Bay, Selasa lalu.

Seminar anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM ini berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Julai dengan tema “Integriti Kewangan: Menguatkuasakan Kepatuhan dan Pencegahan Penyelewengan dalam Perkhidmatan Awam”.

SKPSA 2025 menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan pengawal selia bagi berkongsi amalan terbaik, memahami keperluan pematuhan yang semakin kompleks serta mendalami peranan audit dan kawalan dalaman dalam pengurusan kewangan awam.

Penganjuran seminar ini turut disokong oleh barisan penceramah dan pakar industri yang berpengalaman luas dalam bidang pengauditan, tadbir urus dan pencegahan rasuah, sekali gus membuka ruang kepada penjawat awam untuk memahami realiti semasa dan cabaran dalam melaksanakan tadbir urus yang berkesan.

Dr. Mohd. Shukor berkata, SKPSA 2025 bukan sekadar medan menimba ilmu, malah merupakan wadah penting untuk memperkukuh amalan tadbir urus kewangan dalam sektor awam, khususnya dalam mempertingkat pematuhan peraturan, memperkasakan sistem kawalan dalaman dan membanteras penyelewengan.

Menurutnya, kolaborasi antara universiti dan sektor awam dalam bentuk penyelidikan bersama, pembangunan dasar dan latihan profesional berterusan adalah penting bagi memastikan amalan tadbir urus sentiasa selari dengan keperluan semasa negara.

Sebagai pengisian hari pertama, beliau turut menyampaikan slot bertajuk “Mewujudkan Budaya Integriti dan Akauntabiliti dalam Sektor Awam” yang menekankan kepentingan nilai integriti sebagai asas kepada tadbir urus yang berkesan.

Turut hadir, Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Noorlida Mohd Khalid; Timbalan Pengarah Bahagian Audit Dalam dan Governans, Institut Integriti Malaysia, Maisyarah Mansoruddin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Menjalankan Tugas Dekan TISSA UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button