General

Kerjasama korporat, universiti dan komuniti dalam pemuliharaan paya bakau

Gambar Pusat Alumni UUM

MERBOK, 25 November 2024: Etika Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program “Pemuliharaan Habitat Paya Bakau untuk Kelestarian Alam Sekitar” di Kompartment 11, Sungai Merbok pada 23 November lalu.  

Program ini juga menjadi lebih bermakna dengan penyertaan 10 pelajar dari Kelab Patriot Chapter Sabah yang meluangkan masa cuti semester untuk turut serta dalam inisiatif ini. 

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan habitat paya bakau sebagai penampan ekologi yang penting dan membantu dalam usaha melindungi alam sekitar.

Acara tersebut menyaksikan penglibatan lebih 120 peserta, termasuk kakitangan Etika Sdn. Bhd., alumni UUM, pelajar universiti, dan penduduk tempatan menanam 320 anak pokok bakau di kawasan yang terdedah kepada hakisan tanah.

Langkah ini bertujuan memperkukuhkan kawasan muara sungai serta memperbaiki habitat hidupan liar di sekitar Sungai Merbok, yang terkenal dengan kepelbagaian biologi ekosistemnya.

Naib Presiden Sumber Manusia, Etika Sdn. Bhd., Norashikin Abdul Rahman menyatakan komitmen syarikat terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar melalui program ini.

“Paya bakau merupakan aset penting yang sering diabaikan. Melalui program ini, kami ingin menyumbang kepada perlindungan ekosistem ini sambil mendidik masyarakat tentang peranan kritikalnya dalam mengurangkan impak perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar mengucapkan penghargaan atas kerjasama erat antara pihak korporat, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang serta agensi-agensi lain dan juga alumni UUM yang turut serta dalam program ini.

Menurutnya, Sungai Merbok bukan sahaja menjadi tapak pemuliharaan, tetapi juga simbol kesatuan dalam usaha menjaga alam sekitar. Inisiatif ini sejajar dengan misi UUM untuk melahirkan individu yang prihatin terhadap isu alam sekitar.

Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada ekosistem Sungai Merbok, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada para peserta, termasuk pelajar Kelab Patriot Chapter Sabah untuk terus memainkan peranan aktif dalam memelihara warisan alam demi kesejahteraan generasi akan datang. – Amelia Hakimi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button