General

KESKA terima dana RM20,000 bagi pendigitalan rekod pengurusan kesatuan

Gambar Nor Aziah Mehat

PULAU PINANG, 6 Julai 2025: Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) berjaya memperoleh peruntukan di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2025 bagi Kluster 5: Pendigitalan Rekod Pengurusan Kesatuan Sekerja berjumlah RM20,000.

Bantuan ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk memperkasa sistem pengurusan kesatuan ke arah pendigitalan yang lebih efisien dan berimpak tinggi.

Majlis yang diadakan sempena Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS 2025 Peringkat Zon Utara itu berlangsung di The Grand Ballroom, Ixora Hotel, melibatkan penyertaan kesatuan sekerja dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, yang turut menyempurnakan penyerahan bantuan kepada kesatuan-kesatuan terpilih.

KESKA diwakili oleh Presidennya, Affendi Askandar, dan Setiausaha, Nor Aziah Mehat dalam majlis tersebut.

Affendi berkata, kejayaan ini merupakan hasil kesungguhan dan dedikasi Ahli Majlis Jawatankuasa (AMJK) KESKA dalam memperjuangkan kemajuan kesatuan.

“Saya amat berbangga dengan kesungguhan AMJK KESKA mendapatkan bantuan ini. Ia membuktikan komitmen kita untuk terus memperkasa pengurusan kesatuan dan bergerak seiring transformasi digital.

Diharapkan usaha ini akan terus mengharumkan nama KESKA dan juga Universiti Utara Malaysia,” katanya.

Tempoh pelaksanaan projek ini ditetapkan sehingga 30 November 2025, dan dijangka memberi impak positif terhadap keberkesanan pengurusan maklumat serta urus tadbir kesatuan.

Majlis ini turut menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan antara kerajaan dan kesatuan sekerja dalam usaha meningkatkan kecekapan serta kesejahteraan warga pekerja negara. – Hazree Hairudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button