General

KPPA: Integriti kewangan asas tadbir urus awam

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 16 Disember 2025: Integriti dan akauntabiliti bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu dibudayakan sebagai teras utama dalam tadbir urus awam bagi memulihkan kepercayaan rakyat dan memperkukuh imej negara, tegas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Pengurusan Negara bertajuk “Membudaya Integriti dan Akauntabiliti dalam Tadbir Urus Awam di Malaysia: Dari Perspektif KPPA” di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Menurut beliau, integriti bermaksud melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan, manakala akauntabiliti menuntut setiap pemegang amanah bersedia memberi penjelasan terhadap keputusan dan tindakan yang diambil.

“Integriti bermaksud melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat. Individu yang berintegriti dan berakauntabiliti tidak mudah terpengaruh dengan tingkah laku negatif seperti pecah amanah dan kecuaian dalam tugas,” katanya.

Beliau yang juga Profesor Adjung Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), UUM, menjelaskan bahawa cabaran integriti masih menjadi isu serius dalam perkhidmatan awam, sekali gus memerlukan tindakan berterusan dan menyeluruh.

Beliau mendedahkan sebanyak 4,061 kes tatatertib direkodkan pada tahun 2024 berbanding 3,958 kes pada tahun sebelumnya, manakala tangkapan pegawai awam atas kesalahan rasuah turut menunjukkan peningkatan.

“Peningkatan ini mencerminkan ketegasan mekanisme pengesanan dan penguatkuasaan, namun ia juga menjadi peringatan bahawa usaha membudayakan integriti tidak boleh berhenti,” ujarnya.

Dalam syarahan tersebut, beliau turut mengupas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menjadi tonggak kepada aspirasi Malaysia MADANI, dengan penekanan kepada nilai tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi.

Sebagai langkah memperkukuh nilai tersebut, beliau memperkenalkan nilai H.E.M.A.T. yang merangkumi Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran, selain tiga prinsip utama iaitu Memudahkan, Menyesuaikan dan Menyegerakan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Mengulas peranan universiti, beliau menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi merupakan rakan strategik negara dalam membentuk ekosistem integriti serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang beretika.

“Universiti bukan sahaja pusat ilmu, tetapi medan ujian integriti melalui pengurusan sumber manusia, kewangan dan aset. Pensyarah pula merupakan pembina akhlak profesional, manakala mahasiswa adalah bakal pemimpin negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar universiti memperkukuh kurikulum berasaskan etika profesional, menjadikan integriti sebagai budaya kampus serta mengamalkan tadbir urus yang telus dan bebas konflik kepentingan.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negeri Kedah, Dato’ Haji Zepri Saad; Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Profesor Madya Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid; Pengerusi Program Pengurusan Awam, SOG, Mokhtafizam Mokhtar; ketua-ketua pusat tanggungjawab serta pegawai-pegawai kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), staf dan para pelajar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button