Kuasa dan tanggungjawab wanita dalam era kecerdasan buatan (AI)
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2025: Mengangkat tema ‘CatalystHER: Empowering Resilience & Agility in the AI Era’, Big Tulip Summit 2025 memberi tumpuan kepada peranan wanita sebagai pemacu transformasi dalam era kecerdasan buatan (AI).
Sidang kemuncak ini dianjurkan oleh Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menghimpunkan pemimpin berpengaruh, profesional serta pembuat dasar bagi membincangkan peranan penting wanita dan golongan profesional muda dalam memperkukuh daya tahan serta ketangkasan menghadapi era AI.
Perasmian Big Tulip Summit 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad, yang turut merakamkan penghargaan kepada OYAGSB UUM atas kepimpinan berterusan dalam mempromosikan isu pemerkasaan wanita dan kepimpinan melalui platform berprestij ini.
Menurutnya, tema yang diketengahkan mencerminkan matlamat untuk melihat wanita bukan sahaja menyesuaikan diri dengan perubahan, malah membentuk masa depan melalui inovasi, kecerdasan, dan kepimpinan inklusif.
“Kita hidup dalam masa transformasi yang luar biasa di mana kecerdasan buatan (AI) bukan lagi konsep yang baru muncul, tetapi telah menjadi kuasa pusat yang membentuk semula ekonomi, institusi, dan kehidupan seharian.
“Namun, di tengah-tengah kemajuan pesat ini, kita mesti bertanya kepada diri sendiri soalan penting: Adakah wanita dan kanak-kanak perempuan dimasukkan, dilengkapi dan diberi kuasa untuk berkembang maju dalam dunia yang dipacu AI ini? Jawapannya mestilah ya. Dan untuk menjadikannya realiti, kita mesti bertindak dengan segera dan bersatu.
“Di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kami amat komited untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan wanita memimpin dengan yakin dalam era AI,” katanya.
Beliau turut menyeru semua peserta Big Tulip Summit 2025 agar bersatu merentasi sektor kerajaan, akademik, industri swasta, dan masyarakat sivil untuk membentuk masa depan digital yang inklusif dan tidak meninggalkan mana-mana wanita.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sidang kemuncak ini menjadi platform pembelajaran, perkongsian dan pemerkasaan untuk membantu individu bercita-cita tinggi merealisasikan potensi diri mereka.
Menurutnya, UUM komited meneruskan misinya dalam memupuk kepimpinan yang bukan sahaja bijak, malah inklusif dan berdaya tahan.
“Platform ini mencerminkan kepercayaan bahawa pemimpin wanita yang diperkasakan dengan kesediaan digital dan strategik serta berpandangan jauh, adalah pemangkin utama dalam membentuk organisasi yang tangkas, beretika dan mampan,” katanya.
Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar pula menegaskan bahawa tema tahun ini menonjolkan wanita sebagai agen transformasi, inovasi dan kebolehsuaian dalam masa depan yang semakin dipacu oleh AI.
Beliau berkata, sidang kemuncak ini juga akan meneroka bagaimana teknologi dapat memperkukuh kepimpinan, daya tahan serta peluang wanita merentasi pelbagai sektor.
Beliau turut menyatakan harapan agar semua peserta dapat memanfaatkan sesi perkongsian sepanjang program berlangsung.
Sidang kemuncak dimulakan dengan sesi pertama bertajuk ‘HER AI Edge: From Side Hustle to Scalable Impact’, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nuren Group, Petrina Goh; Pengasas dan CEO Nisa Holdings, Puan Sri Nisa Bakri, dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif PayNet Malaysia, Chin See Mei.
Sesi ini dimoderatorkan oleh Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki, dan membincangkan bagaimana usahawan wanita memanfaatkan AI dan teknologi untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan kecekapan dan mencipta impak yang mampan.
Turut tampil dalam sidang kemuncak ialah Tan Sri Rafidah Aziz, Profesor Adjung OYAGSB dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang menyampaikan ucaptama berkenaan penggunaan AI dalam konteks semasa.
Menurut beliau, AI merupakan alat pemberdayaan (empowerment) yang luar biasa.
“AI boleh menjadi alat kemajuan, namun jika disalahgunakan, ia juga boleh menjadi sumber kemudaratan. Masa depan teknologi ini akhirnya bergantung kepada nilai dan niat manusia.
“Justeru, penting bagi kita sama ada pembangun, pengguna, atau pembuat dasar untuk sentiasa berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab dalam setiap langkah berkaitan pembangunan dan penggunaan AI,” katanya.
Sesi kedua bertajuk ‘Future-Proof HER: Skills to Stay Ahead in a Changing Economy’ membariskan Pengasas dan CEO Stravik Malaysia, Dr. Vimi Ramasamy; CEO Nine Yards Ventures, Dzuleira Abu Bakar, dan Presiden Women Entrepreneur Network Association of Malaysia (WENA), Syireen Rose Mohamead Sha’ari.
Sesi ini dimoderatorkan oleh Prof. Madya Dr. Sabariah Yaakub, dan memberi tumpuan kepada kemahiran yang perlu dimiliki wanita untuk kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam landskap perniagaan yang pantas berubah.
Akhir sekali, sidang kemuncak menutup tirai dengan sesi bertajuk ‘HER Health and Wealth’, bersama Yoganathan, Pengarah Urusan Gloria Beauty Wellness.
Sesi penutup ini terus menegaskan peranan Big Tulip Summit sebagai platform pembelajaran dan pemerkasaan yang membolehkan bakal pemimpin merealisasikan potensi mereka dan terus berkembang maju.