Kubeeran pasang impian bergelar penganalisis kewangan
Gambar Mohd Fuad Hamid
MELAKA, 21 September 2025: Kubeeran Krishnan, anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Batu Berendam, Melaka, kini melakar langkah baharu dalam hidupnya apabila diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengikuti Sarjana Muda Kewangan.
Berbekalkan PNGK 4.00 di Program Matrikulasi, Kubeeran atau lebih mesra disapa Kube menempa kejayaan meskipun datang daripada keluarga sederhana.
Ayahnya bekerja sebagai tukang wayar dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan, manakala ibunya seorang suri rumah sepenuh masa.
Kube berkata, pada mulanya cita-cita dia adalah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan sehingga mendapat ACCA dan menjadi akauntan bertauliah.
“Namun, saya ditawarkan program Kewangan, dan saya percaya ini adalah rezeki saya. Kini saya menetapkan matlamat baharu untuk menjadi seorang penganalisis kewangan yang berjaya,” katanya.
Ditanya rahsia memperoleh keputusan cemerlang, Kubeeran berkongsi bahawa sentiasa berdisiplin dan bijak mengurus masa, membuat ulang kaji setiap hari tanpa bertangguh dan tidak menangguh tugasan serta konsisten dalam belajar.
Selain belajar, Kubeeran juga aktif dalam hobi dan sukan yang menjadi penyeimbang hidupnya adalah dengan bermain permainan video untuk menghilangkan tekanan termasuk bermain sukan badminton.
Semalam, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, hadir menyantuni Kubeeran di rumahnya dengan surat tawaran rasmi.
Dr. Mohd Foad berkata, Kubeeran membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk berjaya dengan sikap yang ada fleksibiliti, dia akan berjaya suatu hari nanti.
Dari Batu Berendam ke Sintok, perjalanan Kubeeran kini bermula. Dengan semangat, doa keluarga dan usaha yang tidak pernah kenal jemu, impian menjadi penganalisis kewangan kian hampir digapai. – Kori Ariff