Lahirkan pakar cukai dan akaun melalui pengajian PhD
Gambar Shamsaimi Ezil
PUTRAJAYA, 18 Mei 2025: Alumni Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) disaran melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang percukaian dan perakaunan antarabangsa.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, UUM melalui Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) bersedia membantu graduan yang ingin meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.
Menurutnya, TISSA-UUM mempunyai barisan tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkelayakan dalam bidang percukaian dan perakaunan yang mampu membimbing pelajar mencapai cita-cita mereka.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Alumni UUM sempena Sambutan Sedekad Program Kerjasama UUM-LHDNM di Hotel Everly, semalam.
Menurut Dr. Shukor, hubungan strategik antara UUM dan LHDNM telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoA) sejak 2015, dan telah diperbaharui sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2018, 2021 dan 2024.
“Melalui setiap pembaharuan MoA, dua kohort pegawai LHDNM didaftarkan untuk mengikuti Program Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa) di bawah model kerjasama ini,” katanya.
Untuk rekod, kohort pertama bermula pada Mei 2015 dengan penyertaan 25 pegawai, diikuti kohort kedua pada Mei 2016 (24 pegawai), kohort ketiga pada Januari 2019 (22 pegawai), kohort keempat pada September 2020 (14 pegawai), kohort kelima pada September 2021 (22 pegawai) dan kohort keenam pada September 2022 (16 pegawai).
Kohort ketujuh kini sedang mengikuti pengajian, dengan seramai 20 pegawai LHDNM mendaftar pada Januari 2025 dan kini berada di semester kedua.
Dr. Shukor menyatakan harapannya agar kesemua peserta kohort ketujuh berjaya menamatkan pengajian seperti kohort-kohort terdahulu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDNM, Khairul Halimin Abdul Halim berkata, sejak kerjasama ini bermula, seramai 130 pegawai telah berjaya menamatkan pengajian pascasiswazah dengan cemerlang.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap hasrat UUM untuk memperluaskan lagi kerjasama dengan membimbing alumni menyambung pengajian ke peringkat PhD, tertakluk kepada keperluan strategik LHDNM.
“Komitmen dan kesungguhan pegawai LHDNM yang mengikuti program ini menjadi bukti keberkesanan kerjasama yang terjalin serta menyumbang kepada pembangunan kompetensi organisasi,” katanya.
Turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; serta pegawai-pegawai kanan universiti.