General

Lawatan SoC ke JPS Kedah perkukuh kerjasama tekonologi AI dalam pengurusan sumber air

Berita dan gambar Dr. Amirulikhsan Zolkafli

ALOR SETAR, 13 Mac 2025: Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah.

Lawatan ini diwakili oleh Prof. Dr. Huda Ibrahim dan Dr. Amirulikhsan Zolkafli yang bertujuan membincangkan kepakaran SOC dalam Kecerdasan Buatan (AI), pemantauan kualiti air, pembangunan dashboard digital, serta sistem ramalan (prediction model) bagi menyokong pemerkasaan teknologi dalam pengurusan sumber air di negeri Kedah.

Delegasi SOC telah disambut oleh Pengarah JPS Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto bersama barisan Timbalan Pengarah.

Perbincangan memfokuskan tentang cabaran serta keperluan semasa dalam pemantauan dan pengurusan sumber air. Antara agenda utama perbincangan termasuk penggunaan AI dalam pemantauan kualiti air bagi meningkatkan kecekapan analisis dan pengesanan awal pencemaran dan pembangunan dashboard digital untuk memantau data air secara real-time bagi kegunaan pihak berkepentingan.

Selain itu, sistem ramalan (prediction model) dalam meramalkan perubahan sumber air dan kesannya terhadap persekitaran, agenda Smart Changlun, yang bertujuan mengintegrasikan teknologi dalam pengurusan sumber semula jadi untuk pembangunan bandar pintar dan kerjasama dalam program kebersihan sungai bersama komuniti di bawah inisiatif CEPA (Communication, Education, Public Awareness).

Dr. Huda berkata, kerjasama antara SOC UUM dan JPS Kedah membuka ruang yang luas dalam menerapkan teknologi AI bagi memperkasa pemantauan kualiti air serta pengurusan sumber air secara lebih efisien. Ini selaras dengan inisiatif Smart Changlun yang menekankan kelestarian dan inovasi dalam pembangunan komuniti.

Menurutnya, SOC bersedia menawarkan kepakaran dalam analisis data, pembangunan sistem pintar, serta automasi pemantauan kualiti air bagi menyokong transformasi digital di JPS Kedah.

Pihak JPS Kedah menyambut baik cadangan ini dan berharap agar kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi manfaat bersama.

Lawatan ini diakhiri dengan sesi perbincangan lanjut mengenai langkah pelaksanaan dan potensi kerjasama jangka panjang, dengan matlamat merealisasikan penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan sumber air di Kedah.

Selain itu, inisiatif CEPA akan diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemeliharaan sungai melalui program kebersihan sungai yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button