Lawatan STML ke projek padi huma komuniti
SIK, 2 Disember 2024: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) menjalin kerjasama dengan Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT), Jabatan Pertanian Kedah dalam projek padi huma dari kelompok pewaris padi huma di Kampung Landai Sik dan sekitarnya.
Rombongan kali kedua lawatan teknikal untuk pemantauan dan khidmat nasihat projek ini diketuai oleh Penolong Pengarah Seksyen Padi, Tanaman Industri dan Komoditi bernilai Tinggi BPIT, Nasrol Akram Othman dan pasukannya.
Beliau menyatakan kesyukuran atas sambutan baik niat kerjasama dari semua pihak iaitu pihak komuniti, UUM, industri dan Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk menyokong tanaman komoditi di kawasan tanah terbiar tersebut.
Rombongan penyelidik UUM diketuai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim turut terkesan dengan semangat pasukan semua pihak yang sanggup bermandikan hujan dalam menjayakan proses kutipan maklumat agronomi ini.
Susulan lawatan itu, beberapa teknik kaedah pemantauan berprosidur seperti pengurusan tumbuhan iaitu pengukuran pertumbuhan dan aspek kesihatan tumbuhan turut dikongsi bersama pihak UUM.
Turut dikongsi amalan petani penanaman padi huma seluas 15 hektar yang disokong aktif oleh 10 orang penduduk kampung yang masih mengamalkan konsep gotong-royong.
Uniknya, juga amalan pertanian ini ialah mengekalkan benih padi asal dengan tanaman 12 jenis benih padi huma yang diwarisi seperti Padi Cha, Padi Janggut, Padi Gading, Padi Silai, Padi Jari Burung, Padi Hitam dan Padi Anak Belut.
Selain itu alatan tradisional penanaman dari bahan semulajadi sekitar masih digunakan seperti Kayu Pengasak, Buluh menajuk (tempat mengisi biji benih) dan bakul benih dari upih kayu.
Ketua Projek Komuniti Padi Huma Sik, Yusoff Musa mewakili komuniti setempat turut berbesar hati menyantuni semua dengan sambutan luar biasa dengan pelbagai perkongsian pengalaman dan hidangan kampung.
Beliau menyatakan hasrat komuniti bahawa padi huma ini untuk nikmat bersama, warisan yang tidak akan hilang tengelam dari arus moden.
Hasil lawatan ini diharapkan dapat mengeratkan lagi kerjasama melalui komitmen bersama untuk menyokong warisan padi Negeri Jelapang Padi terbesar di Malaysia.
Turut hadir, Nurzawani Mat Isa, Pegawai Pertanian Daerah Sik.