Majlis Iftar Perdana Surau Al-Muttaqin 2025: Lautan jemaah, keberkatan melimpah!
Gambar Surau Al-Muttaqin, Taman Universiti
SINTOK, 25 Mac 2025: Suasana penuh kemeriahan dan keberkatan menyelimuti Surau Al-Muttaqin, Taman Universiti malam tadi apabila lebih 120 jemaah hadir dalam Majlis Iftar Perdana yang berlangsung dengan penuh kehangatan silaturahim.
Walaupun suasana hujan, majlis bermula sekitar jam 6.45 petang dengan ketibaan para jemaah, termasuk ibu bapa bersama anak-anak kecil yang begitu teruja menyambut iftar beramai-ramai. Juadah istimewa seperti nasi daging bersama air asam, sambal telur rebus, serta pelbagai kuih-muih tradisional menjadi santapan berbuka, hasil sumbangan dan gotong-royong penduduk setempat.
Usai berbuka, jemaah bersama-sama menunaikan solat Maghrib secara berjemaah sebelum meneruskan solat Isyak dan tarawih yang dipimpin oleh imam jemputan, Ustaz Firdaus Che Ros yang merupakan Imam Masjid Changkat Setul, seterusnya menyampaikan tazkirah.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga medan untuk meningkatkan ketakwaan dan memperkukuh ukhuwah Islamiah.
Sementara itu, Pengerusi Surau, Muhammad Syazwan Menon turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa ini.
“Kami tidak menyangka kehadiran begitu ramai, termasuk generasi muda yang semakin dekat dengan surau. Ini adalah petanda baik untuk komuniti Islam di sini.
“Kehadiran dan sokongan padu daripada jemaah serta penduduk bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana Ramadan, malah mengukuhkan semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam komuniti kita,” katanya.
Majlis ini menjadi bukti bahawa semangat gotong-royong, ukhuwah Islamiah, dan kecintaan kepada rumah Allah terus subur dalam jiwa semua. – Muhammad Syazwan Menon