Majlis penyerahan sumbangan wakalah zakat oleh Rifhan Teknologi Sdn. Bhd.
Berita dan gambar oleh Syamimi Sufyan
SINTOK, 04 November 2025 – Satu majlis penyerahan ringkas wakalah zakat oleh Rifhan Teknologi Sdn. Bhd telah berlangsung di Lounge Othman Yeob Abdullah Graduate School of Business, Sintok. Pada 17 Oktober 2025, Rifhan Teknologi telah menyumbangkan wakalah zakat berjumlah RM5,000 untuk diagihkan kepada 10 orang pelajar asnaf dengan masing-masing menerima bantuan berjumlah RM500.00 beserta dua (2) unit komputer riba kepada dua (2) pelajar asnaf yang memerlukan.
 
 
Dr. Mohamad Zulkurnai, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM mewakili Rifhan Teknologi dalam majlis penyerahan hari ini, telah menyampaikan sumbangan berkenaan kepada para pelajar yang hadir. Dalam ucapannya, Dr. Zulkurnai menekankan kepentingan muhasabah diri serta melihat peranan sebagai seorang pelajar dan anak yang memegang amanah keluarga.
 
Beliau turut menyampaikan pesanan melalui tiga (3) komponen 3S iaitu:
- Syukur- sentiasa melihat yang lebih dhoif untuk menghargai dan mensyukuri apa yang dimiliki
 - Saing – berlumba-lumba melakukan yang terbaik dalam tugasan sebagai pelajar
 - Seru – sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon keberkatan dan kejayaan
 

Majlis turut dihadiri oleh Encik Muhammad Iskandar Zulkarnain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Encik Salehuddin Salim, Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Pusat Zakat dan Wakaf UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rifhan Teknologi Sdn. Bhd. atas keprihatinan dan komitmen tanggungjawab sosial korporat melalui penyaluran sumbangan zakat kepada Universiti Utara Malaysia. Semoga usaha murni ini akan terus diberkati dan menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk bersama-sama memperkasakan kebajikan pelajar.
				
					


