General

Pahit getir industri terjemahan karya kreatif tanah air

Gambar Rabiatul Adawiyah Ismail

SINTOK, 8 Disember 2024: Industri terjemahan karya kreatif berperanan penting dalam dunia tanpa sempadan hari ini, terutama sekali dalam menyatukan khalayak pembaca dari pelbagai bahasa dan budaya.

Penggiat dan penerbit karya terjemahan, khususnya karya kreatif kontemporari berhadapan dengan beraneka cabaran, baik dari segi ekonomi mahupun modal insan. Hal ini menjadi pokok bicara yang dikupas oleh saudara Kiridaren Jayakumar dalam Program Wacana Cabaran Indsutri Terjemahan Karya Kreatif Industri anjuran Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah pada Khamis lalu.

Program yang berlangsung secara maya ini dihadiri oleh lebih 50 peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan masyarakat luar. Program ini merupakan sebahagian daripada program wacana berkala untuk kursus SBLS 3023 Terjemahan Sastera yang bermatlamat untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang dunia sebenar industri perbukuan di Malaysia, terutama sekali industri terjemahan karya kreatif.

Kiridaren merupakan penerbit dan pemilik syarikat The Bibilo Press yang telah beroperasi lebih empat tahun dan telah menterjemahkan lebih daripada 60 judul buku ternama antarabangsa. Antara karya terjemahan terkini syarikat ini yang laku laris di pasaran tanah air, termasuklah karya penulis Jepun yang terkenal seperti Genki Kawamura (Andai Kucing Hilang Di Dunia), Satoshi Yagisawa (Hari-hariku di Kedai Buku Morisaki), Toshikazu Kawaguchi (Sebelum Kopi Mendingin dan Ceritera dari Kafe), Hiro Arikawa (Selamat Tinggal Kucing, Kronikel Sang Kucing Pengembara) dan karya penulis Korea, Yun Jung Eun.Jung-eun (Dobi Hati Marigold).

Dalam perkongsian beliau yang mengambil masa hampir dua jam, Kiridaren mendedahkan pahit maung penerbit buku di Malaysia serta strategi yang perlu digerakkan oleh mereka yang berhasrat untuk berkecimpung dalam ranah terjemahan serta penerbitan karya kreatif dalam dunia digital semasa.

Menurut Kiridaren, penting untuk penerbit membina jaringan dengan penerbit antarabangsa untuk memastikan matlamat merakyatkan sastera dunia tercapai.

“Penerbit juga perlu menjaga reputasi serta nama baik negara dan penerbit perlu memastikan karya yang diterbitkan bebas daripada kesalahan bagi menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

“Saya berharap khalayak yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang perbukuan untuk sentiasa bergiat aktif, proaktif dan komited jika mahu kekal dalam industri ini,” katanya. – Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button