General

Pasangan suami isteri lakar kejayaan gemilang, tamat PhD dengan GOT

Berita dan gambar Dr. Mohd Amirul Helmi Ismail

SINTOK, 23 November 2025: Kisah inspirasi pasangan suami isteri, Dr. Mohd Amirul Helmi Ismail dan isterinya, Dr. Siti Irna Mustajap, mencuri perhatian pada Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah melabuhkan tirainya baru-baru ini apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) secara serentak dengan pencapaian cemerlang Graduan Tepat Masa (GOT) meskipun berdepan cabaran, kewangan, kesihatan dan komitmen keluarga yang tidak pernah surut sepanjang tempoh penyelidikan.

Kejayaan mereka bukan datang bergolek, sebaliknya lahir daripada pengorbanan yang tidak terhitung, perjalanan panjang berliku, serta perjuangan yang menuntut masa, tenaga dan ketabahan luar biasa.

Setiap Detik Ibarat Emas

Berbekalkan tekad dan kegigihan, pasangan ini mengakui bahawa perjalanan mereka bukan sekadar perjalanan akademik tetapi perjuangan emosi dan fizikal yang panjang. Bagi mereka, setiap detik dan setiap saat sepanjang pengajian adalah sangat berharga, dan tidak boleh disia-siakan walau sesaat.

Menceritakan pengalaman mereka, pasangan itu berkata bahawa untuk memastikan mereka mencapai status GOT, mereka menulis tesis di mana sahaja, termasuk di dalam kereta ketika menunggu anak, di kafe, di ruang menunggu, malah di tepi jalan ketika menunaikan tanggungjawab keluarga dan kerja.

“Kami sentiasa bawa laptop ke mana-mana. Kalau ada lima minit masa lapang, kami menulis. Tiada ruang untuk bertangguh. Itulah disiplin yang kami pegang sepanjang tiga tahun pengajian,” kongsi mereka.

Lebih mencabar, mereka mengakui bahawa tidur hanyalah sekitar dua hingga tiga jam sehari pada fasa akhir penulisan tesis. Selebihnya dihabiskan untuk membaca, menganalisis data, membetulkan bab tesis dan menyiapkan keperluan viva.

“Kami anggap masa itu emas. Jika terlepas satu jam, kami bimbang ia akan lambatkan proses GOT. Jadi kami betul-betul berkorban tenaga, masa berehat dan masa peribadi demi memastikan kami tamat pada waktunya,” kata mereka lagi.

Berjuang Antara Masa, Kewangan dan Kesihatan

Selain cabaran masa, pasangan itu juga berdepan tekanan kewangan, keletihan emosi serta cabaran menjaga kesihatan, terutamanya apabila perlu membahagikan tenaga antara pekerjaan, keluarga dan penyelidikan. Namun bagi pasangan ini, saling menyokong adalah kunci utama.

Namun begitu, pasangan ini tetap percaya bahawa perjuangan yang dilakukan bersama lebih kuat berbanding berjuang sendirian. Setiap kali salah seorang hampir putus asa, yang lain akan menghulurkan semangat.

“Bila seorang jatuh, seorang lagi bangun dan memimpin. Kami tak pernah biarkan salah seorang patah semangat lama-lama,” tambah mereka.

Penghargaan Akademik

Kedua-duanya merupakan graduan daripada Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan menyifatkan kejayaan ini sebagai hadiah terbesar buat keluarga yang tidak putus mendoakan.

Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan luar biasa itu.

“Ini bukan sekadar pencapaian akademik dan menamatkan Ph.D bukanlah mudah. Ini kisah keberanian, disiplin dan kerjasama suami isteri yang luar biasa.

“Menamatkan Ph.D sebagai GOT perlu ada pengorbanan yang tinggi. Pasangan ini membuktikan bahawa sokongan keluarga adalah asas utama dalam kejayaan akademik,” katanya.

Inspirasi kepada Penuntut

Kisah Amirul dan Irna menjadi inspirasi kepada ramai pelajar pascasiswazah, terutama pasangan yang sedang bergelut menguruskan masa antara keluarga, kerjaya dan penyelidikan.

Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah itu bukan sahaja menandakan tamatnya perjalanan doktor falsafah mereka, tetapi juga membuka lembaran baharu kepada pasangan tersebut untuk terus menyumbang kepada dunia akademik dan industri.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa dengan sokongan, pengorbanan dan keutuhan keluarga, tiada impian yang mustahil untuk dicapai.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button