General

Pelajar dan pensyarah SOE berpeluang wawancara tokoh ulung negara

Gambar Prof. Madya Ts Dr. Irwan Mahazir Ismail

PUTRAJAYA, 13 Februari 2025: Seramai enam pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pensyarah program telah diberi penghormatan untuk mengadakan sesi wawancara eksklusif bersama negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, baru-baru ini.

Pelajar tersebut terdiri daripada Siti Nur Farhana Jamil, Yap Lee Foong dan Nur Fisha Hanani, manakala pensyarah yang turut serta ialah Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad, Prof. Madya Ts Dr. Irwan Mahazir Ismail serta Julianti Samsudin.

Pensyarah program, Dr. Shanusi berkata, wawacara ini menjadi platform luar biasa untuk mendalami pemikiran dan falsafah pendidikan daripada pemimpin yang telah dua kali menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada tugasan akademik bagi kursus Falsafah, Sejarah dan Polisi dalam Pendidikan, pelajar memilih Tun Dr. Mahathir sebagai tokoh utama dalam kajian mereka, mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam membentuk landskap pendidikan negara.

“Pengalaman ini bukan sahaja membantu pelajar dalam melengkapkan tugasan mereka, tetapi juga membuka perspektif baharu mengenai kepimpinan dalam pendidikan.

“UUM terus komited untuk memberi pendedahan berkualiti tinggi kepada pelajarnya, menjadikan institusi ini sebagai medan terbaik dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berintelektual, progresif, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sepanjang sesi, Tun Dr. Mahathir berkongsi pengalaman serta wawasan beliau mengenai cabaran pendidikan masa kini, kepentingan reformasi sistem pembelajaran, dan bagaimana Malaysia boleh terus melahirkan generasi cemerlang yang mampu bersaing di peringkat global.

Dalam perkongsian penuh makna ini, Tun Dr. Mahathir menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar menuntut ilmu, tetapi menjadi alat transformasi yang lebih besar dalam membentuk karakter dan nilai hidup individu.

“Kena ubah karakter, ubah nilai hidup dan berbetulkan dengan pendidikan,” kata beliau yang menekankan bahawa perubahan dalam sistem pendidikan harus selari dengan pembentukan peribadi dan etika yang baik bagi melahirkan masyarakat yang lebih maju dan bertanggungjawab.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan negara harus berasaskan kepada kebijaksanaan dalam menggunakan ilmu yang dimiliki.

“Kita ambil apa yang kita punya sahaja, guna ilmu, budi bicara yang baik untuk memajukan negara,” katanya yang turut menggariskan kepentingan memanfaatkan keunikan dan kekuatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pengaruh luar.

Selain itu, Tun Dr. Mahathir turut mengingatkan generasi muda tentang tanggungjawab sosial dalam memberi kembali kepada masyarakat.

“Terhutang budi kepada masyarakat, kena balas balik kepada masyarakat, guna ilmu kita untuk diri dan komuniti,” katanya selain menyeru supaya ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk kepentingan individu tetapi digunakan bagi membangunkan bangsa dan negara.

Lebih daripada sekadar wawancara akademik, sesi ini memberikan peluang eksklusif kepada pelajar untuk mengajukan soalan secara langsung kepada salah seorang pemimpin paling berpengaruh di dunia.

Dengan gaya pemikiran yang tajam dan bernas, Tun Dr. Mahathir mengupas isu-isu pendidikan dengan penuh ketegasan dan visi jauh ke hadapan, menekankan pentingnya inovasi dalam sistem pembelajaran dan peranan pendidikan dalam membentuk sebuah negara maju. – Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button