Pelajar rumah tenggelam bersyukur terima bantuan banjir UUM
Gambar Hairul Nizam Zahari
TUMPAT, 5 Disember 2024: “Air sampai ke bumbung, kami hanya tinggal sehelai sepinggang akibat bencana banjir ini” kata pelajar UUM, Ainon Badriah Mustafa di Kampung Tujuh ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, berbanding dengan banjir besar pada tahun 2014 yang melanda Kelantan, rumahnya hanya dinaiki air sehingga ke lutut sahaja.
Katanya, kali ini air memang naik tinggi sampai ke bumbung dan dia sekeluarga belum sempat lagi mencuci rumah, bagaimanapun air dan elektrik baru sahaja boleh digunakan.
“Esok kami merancang untuk membersihkan sisa-sisa banjir ini. Semua tilam dan katil dan kebanyakan peralatan elektrik sudah tak boleh digunakan,” katanya.
Hari ini, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan melawat Ainon Badriah sekeluarga di Kampung Tujuh dan memberikan sedikit buat tangan sambil menyatakan UUM akan menyalurkan lagi bantuan dan berharap dia tabah.
Mengikut statistik Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM, seramai 500 pelajar UUM di Kelantan yang terjejas dengan banjir kali ini.
Turut bersama dalam lawatan ini Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain.