General

Penghidap kanser GIST berjaya menamatkan Sarjana Sains (Pengurusan Pelancongan)

Gambar Ihsan Faraashikin Azman

SINTOK, 11 November 2025: Meskipun menghidap Gastrointestinal Stromal Tumor (GIST), sejenis kanser yang tumbuh dalam saluran pencernaan, Faraashikin Azman, 40, tetap cekal menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Sains (Pengurusan Pelancongan) melalui mod penyelidikan.

Lebih bermakna lagi, dia menamatkan pengajian tersebut bersama suaminya, Nur Zamahuri Ramly, 40, yang juga mengikuti program pengajian sama setelah mereka memulakan pengajian pada September 2021.

Faraashikin menceritakan bahawa dia disahkan menghidap GIST ketika melahirkan anak kedua dan ketika dalam tempoh berpantang, ketumbuhan tersebut pecah di dalam perut hingga menyebabkannya koma.

Menurutnya, sebaik sedar, doktor memaklumkan bahawa sel-sel kanser telah merebak ke organ lain dan dia perlu menjalani beberapa siri pembedahan.

“Alhamdulillah, saya bebas daripada kanser antara tahun 2021 hingga 2024. Namun, pada tahun lalu, kanser tersebut kembali merebak dan sehingga kini, saya telah menjalani lima pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian usus kecil, usus besar dan hati.

“Ini adalah cabaran yang saya harus tempuhi untuk menamatkan pengajian, sambil terus berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Sungai Petani,” kata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Mengulas mengenai keputusan untuk menyambung pengajian, Faraashikin memaklumkan bahawa beliau sebenarnya tidak merancang untuk melanjutkan pelajaran disebabkan komitmen lain yang perlu diutamakan. Namun, atas galakan dan pujukan rakan sekerja, beliau dan suami akhirnya membuat permohonan untuk menyambung pengajian.

Mereka memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana ingin merasai pengalaman pembelajaran dalam suasana yang baharu.

Sementara itu, Nur Zamahuri berkata bahawa penyelia mereka, Dr. Eshaby Mustafa dan Dr. Roshita Abdul Razak banyak memberikan sokongan moral dan doa sepanjang tempoh pengajian.

“Dengan kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian ini, akhirnya kami berdua berjaya menamatkan pengajian bersama tanpa perlu menangguhkan sebarang semester,” katanya.

Faraashikin dan Nur Zamahuri menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Pelancongan) yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-38, petang semalam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button