General

Pengukuhan tadbir urus, jalinan alumni dan pengenalan AI jadi tumpuan utama universiti

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 2 Februari 2026: Universiti terus memperkukuhkan tadbir urus berintegriti dengan menekankan kepentingan mendapatkan nasihat daripada individu berwibawa bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan dilaksanakan dalam ruang lingkup tanggungjawab yang betul serta bebas daripada ketirisan, salah laku, rasuah dan pelanggaran etika kepimpinan.

Penekanan tersebut antara perkara yang dibangkitkan dalam Majlis Amanat Naib Canselor hari ini yang turut menggariskan beberapa fokus utama dalam tujuh tujahan tahun 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk penambahbaikan pengurusan politeknik, pengukuhan jaringan alumni serta pengenalan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, dalam usaha memperkasakan peranan alumni, pusat alumni diminta agar lebih proaktif dengan turun padang membina rangkaian dan mengukuhkan hubungan strategik bersama alumni universiti yang kini berjaya dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, usaha ini dilihat penting bagi membolehkan alumni menyumbang kembali kepada universiti, khususnya dalam aspek kebajikan kampus, sokongan pembangunan institusi dan penambahbaikan pengurusan universiti.

“Sehubungan itu, universiti juga merancang untuk membawa pulang alumni ke kampus menerusi penganjuran program yang lebih bersepadu dan menyeluruh dengan penglibatan semua jabatan serta pusat pengajian.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan penyertaan alumni yang lebih ramai dan bermakna,” katanya.

Selain itu, universiti turut memberi penekanan kepada pelaksanaan agenda reformasi sejajar dengan misi mempercepatkan pelaksanaan dasar, memperhebatkan reformasi serta menambah baik komunikasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Proses kerja yang lambat dikenal pasti untuk disemak semula agar dapat dipercepatkan tanpa melanggar peraturan sedia ada.

Antara contoh yang diketengahkan ialah tempoh pengeluaran surat tawaran kepada pelajar pascasiswazah yang sebelum ini mengambil masa sehingga beberapa bulan, namun disasarkan untuk dipendekkan kepada tempoh yang lebih singkat melalui penawaran bersyarat seperti yang dilaksanakan oleh institusi lain.

Universiti juga digesa untuk mengurangkan karenah birokrasi dan mengelakkan budaya saling menolak tanggungjawab dalam organisasi, sebaliknya mengamalkan pendekatan kerja yang lebih dinamik, progresif dan sensitif terhadap keperluan warga universiti khususnya pelajar.

Penilaian semula terhadap peraturan yang mengekang kemasukan pelajar turut diberi perhatian memandangkan pelajar merupakan fokus utama universiti. Semua hala tuju strategik ini akan diperhalusi dan diperkemaskan dengan mengambil kira pandangan Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) serta pihak berkepentingan lain.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta Bursar, Mohtar Hasim.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button