General

Pensyarah IBS terima sijil pentauliahan Penasihat Shariah (CSA)

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor

SINTOK, 25 November 2024: pensyarah di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sijil pentauliahan Penasihat Shariah (Certified Shariah Advisor – CSA) daripada Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia (ASAS) sempena Majlis ASAS 2nd Conferment Ceremony 2024 yang diadakan di AICB Centre of Excellence, kelmarin.

Dr. Zakhiri memulakan pengajian dalam program CSA pada 1 November 2020 dan berjaya menamatkan semua 22 modul yang disediakan dengan jayanya pada 9 Oktober 2023.

Menurutnya, program CSA ini amat unik kerana ia meliputi pelbagai disiplin ilmu termasuk Undang-Undang, Usul Fiqh, Ekonomi, Pasaran Modal Islam, Pengurusan Risiko, Takaful, Maqasid Shariah dan Kajian Kes. Semua modul ini digubal oleh pemain industri dan selari perkembangan semasa dalam industri kewangan Islam.

“Alhamdulillah, program CSA ini telah banyak membantu saya meningkatkan kualiti dan kaedah pengajaran kewangan Islam kepada pelajar di UUM, terutamanya di Pusat Pengajian Islam serta Penasihatan Shariah Institusi Kewangan Islam.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor atas segala  sokongan dan kerjasama yang diberikan. Pengiktirafan dan pencapaian ini adalah milik seluruh warga Pusat Pengajian Perniagaan Islam,” katanya.

Selari dengan pencapaian ini, Dekan IBS menggalakkan semua pensyarah untuk mengikuti kursus-kursus pensijilan profesional yang ditawarkan oleh ASAS.

Beliau juga menyarankan agar pensyarah  IBS dapat memanfaatkan peluang penajaan dan pinjaman daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputra, Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau mana-mana institusi kewangan Islam bagi mengikuti program-program yang ditawarkan ASAS ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button